Pesawat komersil pertama 'sifar sisa buangan' mula penerbangan sulung


Penerbangan QF739 syarikat Australia Qantas dari Sydney ke Adelaide akan menggunakan peralatan sama ada boleh diguna dan dikitar semula atau dilupuskan sebagai kompos. – Gambar EPA, 8 Mei, 2019.

PESAWAT komersil pertama “sifar sisa buangan” memulakan penerbangan sulungnya pada Rabu, ia sebahagian inisiatif baharu syarikat penerbangan Australia Qantas untuk menghapuskan penggunaan plastik, lapor agensi berita Xinhua.

Penerbangan QF739 dari Sydney ke Adelaide akan menggunakan peralatan sama ada boleh diguna dan dikitar semula atau dilupuskan sebagai kompos.

“Mengendalikan lebih 50 juta penumpang setiap tahun, Qantas dan Jetstar menghasilkan jumlah sampah bersamaan dengan 80 jet Boeing 747,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas bagi perkhidmatan domestik Andrew David.

“Kami mahu menawarkan kepada pelanggan perkhidmatan sama seperti mereka nikmati sebelum ini tetapi tanpa menghasilkan sisa buangan yang banyak.”

“Penerbangan itu akan menguji produk kami dalam memproses sisa buangan selain untuk mendapatkan maklum balas pelanggan,” tambahnya.

Selain pas masuk digital dan tag bagasi elektronik, sekitar 1000 barangan plastik untuk kegunaan tunggal ditukar kepada alternatif yang lebih mesra alam.

David berkata usaha itu akan menjimatkan 34 kilogram sisa buangan pada setiap penerbangan, bersamaan dengan 150 tan setahun. 

Di samping itu, Qantas turut berhasrat untuk mengurangkan penggunaan 100 juta barangan plastik setiap tahun menjelang akhir 2020. – Bernama, 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen