PIHAK yang membangun dan menyokong cadangan projek di Taman Rimba Kiara di Kuala Lumpur akan disiasat dengan sewajarnya atas dakwaan rasuah walaupun Kabinet meluluskan projek berkenaan, kata Khalid Abdul Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan sekiranya terdapat bukti salah laku.
Meskipun projek tersebut diluluskan, ia tidak bermakna mereka yang melakukan rasuah akan terlepas.
“Jika ada sebarang unsur rasuah, siasatan akan diteruskan walaupun projek mendapat kelulusan Kabinet.
“Mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan tetap dikenakan tindakan,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama kakitangan kementeriannya di Putrajaya, malam ini.
Khalid berkata kementeriannya akan membiarkan Kabinet membuat keputusan kerana merasakan pertikaian mengenai projek pembangunan tersebut semakin bersifat “peribadi”.
Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia telah memulakan siasatan dan akan memanggil individu-individu yang dikaitkan dengan projek pembangunan itu.
Mereka termasuklah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, pemaju dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – 8 Mei, 2019.
Komen