Wawasan 2020 kini Wawasan 2025


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyalahkan pendahulunya dan bekas perdana menteri Najib Razak yang gagal memenuhi aspirasi untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. – Gambar EPA, 8 Mei, 2019.

WAWASAN 2020 dilanjutkan lima tahun lagi menjadi Wawasan 2025, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyalahkan pendahulunya dan bekas perdana menteri Najib Razak yang gagal memenuhi aspirasi untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Wawasan 2020 kali pertama diperkenalkan ketika Dr Mahathir membentangkan Rancangan Malaysia Ke-6 pada 1991.

Rancangan Malaysia Ke-6 menyenaraikan sembilan cabaran strategik utama yang perlu negara hadapi untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Cabaran tersebut termasuk:

* Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

* Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

* Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

* Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.

* Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

* Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.

* Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

* Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

* Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Dr Mahathir yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia, kali pertama berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun mulai 1981 hingga 2003.

Beliau kembali menjawat jawatan sama sebagai perdana menteri ketujuh pada Mei 2018.

Penggantinya sebelum ini, Najib, juga mempunyai wawasannya sendiri yag diberi nama Transformasi Negara 2050 (TN50).

Najib sebelum ini berkata TN50 bukan untuk menggantikan Wawasan 2020 tetapi untuk meneruskannya dengan aspirasi baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata TN50 akan mencerminkan aspirasi rakyat melalui pendekatan bawah ke atas (bottom-up), tidak seperti Wawasan 2020 yang menggunakan pendekatan atas ke bawah (top-down). – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen