SYARIKAT dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho terlibat dalam rangkaian transaksi misteri, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Pada perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini, saksi pendakwa memberitahu sepuluh transaksi berlaku antara 8 Julai 2014 dan 7 Januari 2015.
Transaksi terbesar melibatkan RM140 juta.
Saksi tersebut, penolong pengurus cawangan utama Maybank Kuala Lumpur Halijah Abdul Wahab, berkata semua transaksi itu melibatkan Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Putra Perdana Development Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd. Ketiga-tiganya mempunyai akaun di Maybank.
Low tidak disebut di mahkamah hari ini, tetapi tiga syarikat itu dilaporkan adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pembagunan dan hartanah yang dahulunya dikawal oleh ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa Malaysia itu.
Putrajaya Perdana juga tidak disebut pada perbicaraan hari ini.
Syarikat berkenaan dilaporkan dijual kepada UBG Bhd pada 2008. UBG dikaitkan dengan keluarga Gabenor Sarawak Taib Mahmud. Taib ketika itu merupakan ketua menteri.
UBG kemudian dibeli oleh Petrosaudi International Ltd (Seychelles) dan dilaporkan mendapat bantuan pinjaman dari 1Malaysia Development Bhd pada 2010.
Dua minggu lalu, pengurus AmBank R. Uma Devi ketika memberi keterangan berkata RM35 juta disalurkan dari SRC INternational ke Putra Perdana Construction pada 8 Julai 2014.
Hari ini, Halijah berkata akaun Permai Binaraya Sdn Bhd menerima RM34.99 juta daripada Permai Putra Perdana dan daripada jumlah itu, RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun AmBank Najib yang berakhir dengan nombor ‘008’. Kedua-dua transaksi juga pada 8 Julai 2014. – 8 Mei, 2019.
Komen