Harga beras, makanan naik kalau lulus akta baru benih tanaman, kata badan petani


Diyana Ibrahim

Harga beras dan makanan akan naik sementara bekalannya dimonopoli syarikat besar jika kerajaan meneruskan cadangan menggubal akta baharu bertujuan mengawal benih tanaman di Parlimen pada Julai ini, – Gambar EPA, 8 Mei, 2019.

HARGA beras dan makanan akan naik sementara bekalannya dimonopoli syarikat besar jika kerajaan meneruskan cadangan menggubal akta baharu bertujuan mengawal benih tanaman di Parlimen pada Julai ini, kata sebuah badan bertindak keselamatan makanan.

Badan yang menamakan dirinya Forum Keselamatan dan Kedaulatan Makanan Malaysia berkata, akta baharu itu akan ada kesan besar terhadap industri makanan kerana akan menindas petani selain memberi kesan kepada kos benih tanaman termasuk padi.

Penyelaras badan bertindak, Nur Fitri Amir percaya kerajaan perlu menunda pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman 2019 yang meliputi padi, buah-buahan dan sayur-sayuran demi melindungi petani dan industri pertanian makanan.

“Jangan bentang dulu selagi belum mengadakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan petani sendiri kerana RUU ini menyentuh kepentingan dan masa depan mereka,” katanya pada sidang media selepas wacana mengenai isu itu di Kuala Lumpur.

Sementara itu Pengarah Program Third World Network (TWN), Chee Yoke Ling mengulas isu sama mendakwa akta baharu itu akan menyebabkan monopoli ke atas bekalan benih tanaman.

Katanya, RUU itu turut menyaksikan kesan peningkatan harga produk hasil tanaman di pasaran dan pilihan jenis makanan untuk pengguna juga terhad

“Pilihan makanan di pasaran akan merudum kerana kerajaan akan mengawal jenis benih tanaman yang boleh ditanam menerusi bekalan terus, justeru ini antara masalah kaedah monokultur,” katanya.

Menurut Nur Fitri, pihaknya sudah menghantar satu memorandum menyentuh isu berkenaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, semalam.

Antara tuntutan badan itu ialah supaya kementerian pertanian mendedahkan teks RUU Benih Tanaman kepada umum serta berunding dengan organisasi industri sebelum membentangnya di Parlimen. Undang-undang itu difahamkan bertujuan menangani masalah pengedaran benih haram.

Undang-undang itu apabila diluluskan nanti akan melarang petani daripada menyimpan, membuat pertukaran atau menjual benih tanaman. Ia juga akan mewajibkan semua benih tanaman didaftar dan diberikan sijil mengikut syarat tertentu, kata Nur Fitri.

Tambahnya, pelanggaran undang-undang itu membawa kepada hukuman denda.

“Penjimatan, pertukaran dan penjualan benih adalah satu amalan biasa bagi petani di Malaysia sejak sekian lama dan pengharamannya merupakan penafian hak kepada petani.

“Mengenakan denda dan memperlakukan petani sebagai penjenayah boleh mencetuskan protes dan bantahan daripada petani.” Katanya.

Merujuk pengalaman di Indonesia dan Columbia, Nur Fitri berkata undang-undang sama juga dibantah oleh petani di negara lain.

Jelas beliau, undang-undang baharu itu tidak perlu kerana memadai kerajaan menguatkuasa undang-undang sedia ada.

“Memang undang-undang sedia ada cukup untuk membanteras penjualan atau kemasukan benih lain dan dari luar negara, cuma yang perlu diberi penekanan ialah aspek penguatkuasaan terhadap Sistem Amalan Pertanian (SAP) satu hingga 10,” katanya. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen