Sokongan merosot kerana Pakatan ambil langkah tak popular, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan Pakatan Harapan tidak menggalakkan bantuan tunai seperti yang diamalkan kerajaan lama, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2019.

LANGKAH tidak popular seperti pengurangan atau tiada lagi bantuan tunai kepada rakyat menyebabkan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan merosot selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini termasuk mengurangkan bantuan tunai RM450 bagi golongan bujang dalam kumpulan B40 dan penghapusan bayaran insentif tunai secara one-off kepada nelayan.

“Ini cara kerajaan lama beli sokongan. Kerajaan hari ini tak galakkan amalan seperti itu,” kata perdana menteri dalam wawancara sempena genap setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Dulu nelayan tak tangkap ikan dapat RM300, yang bujang dapat RM450. Semua orang dapat duit.”

Amalan seperti itu katanya, akan menjadikan kerajaan hari ini korup seperti kerajaan Barisan Nasional dan bertentangan dengan pendirian mereka mahu membanteras rasuah.

“Ini satu bentuk rasuah dan kita pun tak ada duit (beri rasuah) kerana kita tak mencuri wang.”

Ini menyebabkan ramai yang kecewa dengan PH lantas membawa kepada sokongan yang merosot.

Dr Mahathir berkata ramai yang menutup sebelah mata terhadap salah laku kerajaan lama. Bukan kerana mereka suka tetapi kerana mahu mendapat manfaat dalam bentuk bantuan tambahan.

Langkah kerajaan PH mungkin dilihat tidak popular, tetapi ia sebagai memenuhi matlamat untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Ia sukar, tetapi kita mahu tak mahu rakyat jadikan bantuan tunai itu satu kebiasaan,” kata perdana menteri.

“Lama-kelamaan rakyat akan hargai.”

Mengulas hasil kaji selidik Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan sokongan rakyat terhadap perdana menteri dan PH merosot, Dr Mahathir berkata kaji selidik itu dijalankan ke atas pengundi. Ia bukan mewakili pandangan rakyat Malaysia secara keseluruhan, katanya.

Langkah kerajaan PH mungkin dilihat tidak popular, tetapi ia sebagai memenuhi matlamat untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, kata perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Perdana menteri berusia 93 tahun itu turut berkata memang satu perkara normal jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

“Saya suka orang beritahu di mana saya buat silap supaya saya boleh betulkan.

“Ada orang yang agak peramah, mereka salam, senyum dan kata ‘I love you’,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak semua perkara berjalan dengan lancar bagi PH, terutamanya apabila melibatkan sentimen rakyat di kawasan kampung Melayu berkenaan ekonomi.

“Kerajaan terpaksa berdepan dengan mereka dan terangkan idea kerajaan untuk perbaiki ekonomi mereka.

“Kena jumpa untuk terangkan. Laporan media tak cukup untuk terangkan keadaan sebenar.”

Dr Mahathir berkata setakat ini beliau sudah bertemu sekurang-kurangnya 50 kumpulan yang menyuarakan kebimbangan mereka.

“Cara kita ialah menukar cara mereka buat duit. Mereka mesti buat duit.”

Walaupun mempunyai beberapa idea seperti mempelbagaikan tanaman untuk menambah pendapatan rakyat, namun kerajaan berdepan banyak cabaran untuk mengenengahkannya.

Dr Mahathir bagaimanapun tetapi optimis kerana baginya setiap perubahan memerlukan masa. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen