PAKATAN Harapan (PH) membuktikan pengkritiknya salah apabila kekal dalam sebuah gabungan politik untuk membentuk kerajaan sejak setahun yang lalu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata bukan satu perkara mudah untuk menyatukan pelbagai parti dalam PH dan seterusnya diberi kepercayaan oleh bekas musuh politik untuk beliau mengetuainya.
“Mereka kata gabungan ini rapuh dan akan pecah cepat, tetapi itu tidak berlaku.
“Kita bersama-sama, kita bekerja bersama-sama dan kita bersatu,” katanya dalam wawancara sempena setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dr Mahathir mengaku kepercayaan daripada bekas seteru politiknya untuk beliau memimpin pakatan politik itu adalah satu kejayaan yang tersendiri.
Dr Mahathir jadi perdana menteri antara 1981 dan 2003, sebelum kembali bertanding PRU14 setahun lalu dan menang kerusi Parlimen Langkawi.
Menjelang PRU14, PH sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sebelum digantikan oleh Anwar Ibrahim, sekarang presiden PKR dalam peralihan kuasa yang akan ditentukan nanti.
“Mereka pilih saya sebagai pemimpin dan sehingga sekarang, saya masih pemimpin mereka,” kata Dr Mahathir.
Mengenai kabinetnya, Dr Mahathir berkata beliau puas hati dengan prestasi keseluruhan menteri kabinetnya walaupun sesetengah mereka masih baharu.
Beliau memberikan 5 markah daripada 10 untuk penilaian prestasi mereka tetapi menegaskan tidak perlu untuk barisan kabinet itu dirombak sekarang.
Dr Mahathir juga menyebut membanteras rasuah sebagai antara kejayaan pentadbirannya sekarang.
Beliau puas hati tindakan yang diambil terhadap pelaku rasuah dilaksanakan mengikut kedulatan undang-undang, “tidak sebelum dulu apabila undang-undang disalah guna.”
Beliau menarik perhatian bagaimana orang tidak lagi merungut soal rasuah dan salah laku dalam kerajaan seperti sebelum ini.
Kelulusan oleh jabatan kerajaan juga sekarang lebih cepat berbanding dulu, tambahnya.
Mengenai kritikan terhadap PH, Dr Mahathir berkata kritikan itu dibuat oleh mereka yang jadi punca pada masalah yang sekarang sedang cuba diselesaikan oleh kerajaan.
Kerajaan juga dapat mengimbangi usaha penjimatan kos dengan komitmennya terhadap beberapa projek mega seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dirunding semula dengan pengurangan kos RM21.5 bilion. Projek Bandar Malaysia juga akan diteruskan semula, katanya.
Bagaimanapun Dr Mahathir mengaku ada juga yang tidak dapat dicapai oleh kerajaan sekarang.
Beliau memberi contoh beberapa janji pilihan raya yang dibuat tanpa penelitian menyeluruh seperti cadangan memansuhkan tol lebih raya, yang akan melibatkan kos RM30 bilion sebagai ganti rugi kepada pemegang konsesi lebuh raya.
Katanya, duit RM30 bilion itu lebih baik dibelanjakan untuk inisiatif lain.
Beberapa janji lain pula tertangguh kerana kerajaan sedang membuat kajian lanjutan, seperti janji memansuhkan hukuman mati.
Mengenai kritikan kerajaan PH hanya menjenamakan semula program kerajaan Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata ada perbezaan antara program sekarang berbanding yang sebelum ini – ia sekarang tidak lagi terpalit dengan rasuah.
Antara program zaman BN yang dijenamakan semula ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) kepada Residensi Wilayah dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kepada Hope Mart.
Program kesihatan rakyat Klinik 1Malaysia juga dikekalkan dan ditukar menjadi Klinik Komuniti.
Malah Program Permata Negara (Permata) yang lantang dikritik PH semasa jadi pembangkang diteruskan dengan nama baharu, Genius.
“Kita buat perkara yang sama tetapi tanpa rasuah,” katanya sambil memberi contoh penganugerah kontrak yang tidak munasabah dan dakwaan kronisme di bawah kerajaan BN. – 8 Mei, 2019.
Komen