SATU letupan berpunca daripada pengebom bunuh diri di sebuah makam Sufi tertua dan paling popular di Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 24 yang lain di bandar timur Lahore pada Rabu, kata polis, dalam serangan yang didakwa dilakukan Taliban.
Letupan yang didakwa dilakukan kumpulan militan melalui e-mel, berlaku berhampiran pintu masuk untuk pelawat wanita ke Makam Data Darbar, satu daripada makam suci Sufi terbesar di Asia Selatan.
Tempat suci ini sekian lama menjadi kunjungan pengikut fahaman Sufi dari serata tempat menjadikan ia sasaran mudah penyerang militan.
Ia pernah menjadi sasaran sebelum ini, dalam serangan bunuh diri pada 2010 yang membunuh lebih 40 orang.
Sejak itu kawasan berkenaan dikawal ketat dengan pelawat terpaksa melalui beberapa lapisan pemeriksaan sebelum boleh memasuki kompleks itu.
Pengikut fahaman Sufi sering menjadi sasaran serangan berdarah di Pakistan oleh militan Islam - termasuk kumpulan Islamic State - yang menganggap kepercayaan dan amalan Sufi di makam ulama sebagai sesat.
Pegawai polis kanan Muhammad Ashfaq memberitahu sidang akhbar bahawa kakitangan keselamatan di tempat suci itu menjadi sasaran.
Tiga pegawai polis, dua pengawal keselamatan dan lima orang awam termasuk seorang kanak-kanak maut, kata ketua menteri wilayah Punjab Usman Buzdar.
Usaha Pakistan mengekang ekstremisme meningkat selepas serangan paling dahsyat di negara ini, melibatkan sebuah sekolah di Peshawar pada 2014 yang menyebabkan lebih 150 orang mati - kebanyakannya kanak-kanak.
Sejak itu, tahap keselamatan dipertingkatkan secara mendadak tetapi militan masih berjaya melakukan serangan dramatik.
Beberapa bandar utama seperti Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan dan ibu kota wilayah terkayanya, Punjab, tidak terkecuali.
Serangan di bandar pada Mac tahun lepas menyebabkan sembilan orang mati, manakala ledakan besar yang mensasarkan penganut Kristian ketika Hari Easter di sebuah taman pada 2016 membunuh lebih 70 orang.
Pengkritik sekian lama mendakwa tindakan keras tentera dan kerajaan tidak menangani punca ekstremisme di Pakistan, di mana kumpulan ekstremis Islam sering menjadikan minoriti agama sebagai sasaran.
Kompleks Data Darbar terletaknya makam Syed Ali bin Osman Al-Hajvery, yang dikenali sebagai Data Ganj Bakhsh. Berasal dari Afghanistan, beliau adalah seorang ulama Sufi paling popular di benua kecil itu. – AFP, 8 Mei, 2019.
Komen