AmBank gagal lapor urus niaga curiga akaun bank Najib, kata saksi


Bede Hong

Pegawai penyiasat Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin berkata, bank itu yang memiliki lima akaun peribadi Najib antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015 gagal menyerahkan Laporan Urus Niaga Curiga (STR) seperti yang disyaratkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mei, 2019.

KUMPULAN AmBank didenda oleh Bank Negara Malaysia pada November 2015 kerana gagal melaporkan urus niaga yang mencurigakan melibatkan akaun bank Najib Razak, kata seorang pegawai bank pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri.

Pegawai penyiasat Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin berkata, bank itu yang memiliki lima akaun peribadi Najib antara 13 Januari 2011 dan 9 Mac 2015 gagal menyerahkan Laporan Urus Niaga Curiga (STR) seperti yang disyaratkan.

Farhan tidak menyatakan jumlah denda ke atas AmBank.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Ambank melaporkan ia didenda RM53.7 juta pada 23 November 2015 kerana gagal mematuhi peraturan tertentu bank pusat.

Denda itu dikenakan mengikut Seksyen 234 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Sekysen 245 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, masing melibatkan AmBank Bhd dan Ambank Islamic Bhd.

Najib mempunyai sebuah akaun simpanan dan empat akaun semasa dengan AmBank di cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Bekas perdana menteri berdepan tujuh tuduhan jenayah menerima RM42 juta dalam tiga akaun banknya antara 2014 dan 2015. 

Ahmad Farhan, saksi keempat pendakwaan mengetuai serbuan Bank Negara Malaysia ke atas AmBank di Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Semasa disoal balas sekali lagi oleh pasukan pembelaan hari ini, Ahmad Farhan berteka dengan peguam bela apabila menegaskan Bank Negara Malaysia mahupun AmBank tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada Najib mengenai urus niaga yang mencurigakan.

Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bertanya Ahmad Farhan sama ada bank mengambil langkah tertentu memberitahu Najib apabila urus niaga mencurigakan itu dikesan oleh bank pusat.

“Siasatan saya hanya untuk melihat sama ada AmBank menyerahkan laporan STR atau tidak. Saya tidak lihat pada bentuk kesalahan yang boleh dikenal pasti. Itu bukan bahagian daripada siasatan,” kata Ahmad Farhan.

Shafee terus bertanya Ahmad Farhan kenapa Najib, sebagai pemegang akaun tidak dimaklumkan tentang urus niaga yang mencurigakan melibatkan akaunnya.

“Adakah setuju sekiranya AmBank buat kerja dan membangkitkan perkara itu kepada pemegang akaun, anak guam saya akan dimaklumkan seawal 2015 mengenai sebarang urus niaga yang mencurigakan?” tanya Shafee.

“Saya tidak setuju kerana itu sama seperti memberi maklumat, yang dilarang di bawah Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001),” jawabnya.

Saksi juga menegaskan dua telefon genggam yang dirampas – sebuah jenis Blackberry dan sebuah lagi jenama Samsung – masing-masing dimiliki pengurus AmBank Joanna Yu dan Krystle Yap. Telefon itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2015.

Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan mengubah wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta yang didakwa diterimanya melalui akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015.

Pendakwaan dijalankan pasukan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen