SEBUAH kereta merempuh sekumpulan murid tadika di wilayah Shiga, barat Jepun pada Rabu, membunuh dua kanak-kanak dan mencederakan beberapa yang lain, kata polis.
Polis berkata, kereta itu terbabas selepas bergeser dengan satu lagi kenderaan lebih besar yang masuk simpang di Otsu City.
Kemalangan itu membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki yang kedua-duanya berusia dua tahun, kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
“Kereta (lebih kecil) merempuh sekumpulan 13 kanak-kanak sekolah dan tiga guru yang sedang berjalan di laluan jalan kaki,” kata polis dalam satu kenyataan.
Jurucakap polis berkata beberapa yang lain mengalami kecederaan tetapi tidak dapat memberikan butiran lanjut.
Kanak-kanak dan guru mereka berada laluan pejalan kaki berhampiran persimpangan ketika kenderaan kecil itu merempuh mereka.
Sekolah tadika di Jepun kerap membawa kanak-kanak ke taman berdekatan semasa waktu bermain.
Rakaman media tempatan selepas kejadian kemalangan itu menunjukkan sebuah kereta mengubah haluan dari jalan dan ke arah trotoar.
Kereta kedua yang dilihat rosak dalam kemalangan masih berada di jalan raya.
Polis berkata mereka menahan pemandu kedua-dua kereta - seorang wanita berusia 52 tahun dan seorang wanita berusia 62 tahun. – AFP, 8 Mei, 2019.
Komen