Raja tak wajar masuk campur urusan negara, kata kumpulan hak asasi


Alfian Z.M. Tahir

Institusi diraja perlu hormati nilai dan proses demokratik negara, kata Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2019.

RAJA-RAJA sewajarnya tak masuk campur dalam politik, walaupun di negeri sendiri kerana rakyat sudah memilih kerajaan negeri dan ia perlu dihormati institusi diraja, kata Human Rights Watch (HRW).

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson memberitahu The Malaysian Insight yang institusi diraja perlu menghormati nilai dan proses demokratik negara ini, menambah yang Malaysia tidak mengamalkan sistem monarki mutlak.

“Rakyat buat keputusan di kotak undi. Mereka pilih kerajaan secara demokratik. Mereka tak mengundi untuk raja memimpin,” kata Robertson.

Beliau mengulas peranan dimainkan Istana Johor sehingga menyebabkan Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi Statut Rom.

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata perjanjian antarabangsa itu akan menjejaskan kuasa raja-raja dan hak orang Melayu.

Baginda menerusi Twitter juga berkata kerajaan gagal berbincang dengan Majlis Raja-Raja sebelum bersetuju menyertai Statut Rom.

Umno dan PAS juga berpendirian serupa dengan raja-raja, dan minggu lepas terlibat dalam perhimpunan menuntut Putrajaya tidak meratifikasi perjanjian itu.

Dakwaan kuasa raja-raja akan terjejas bagaimanapun dinafikan Peguam Negara Tommy Thomas. Dalam satu forum diadakan di Universiti Malaya baru-baru ini, beliau berkata sultan tidak akan dipertanggungjawabkan untuk jenayah dilakukan negara.

Awal April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan hasrat kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak mendapat penerangan mencukupi tentang konvensyen itu dan wujud golongan berkepentingan cuba melagakan raja-raja Melayu dengan Pakatan Harapan. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen