Kumpulan hak asasi kata Putrajaya gagal laksana pembaharuan hak asasi


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson menyifatkan kekurangan pembaharuan di Malaysia sangat mengecewakan, sementara Pengarah Eksekutif AI Shamini Darshini Kaliemuthu berkata Putrajaya tidak ada kesungguhan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2019.

SELEPAS setahun berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan masih belum membuktikan kemampuannya melaksana pembaharuan institusi dan undang-undang bagi pengukuhan hak asasi, kata Amnesty International (AI) dan Human Rights Watch (HRW) hari ini.

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson menyifatkan kekurangan pembaharuan di Malaysia sangat mengecewakan, sementara Pengarah Eksekutif AI Shamini Darshini Kaliemuthu berkata Putrajaya tidak ada kesungguhan politik.

“Setahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan berkuasa dengan ikrar menjadikan rekod hak asasi Malaysia dihormati seluruh dunia.

“Tetapi, tidak banyak dilakukan untuk memenuhi janji ini malah menarik balik pengumuman tentang pembaharuan hak yang dibuat,” katanya.

“Kita melihat tidak ada hala tuju jelas ke arah pembaharuan. Kita perlu untuk melihat rancangan yang jelas diutarakan dan dalam semangat mempromosi dan melindungi hak asasi di negara ini,” tambah Shamini lagi.

Kedua-dua mereka juga berkata Putrajaya terlalu takut untuk melakukan pembaharuan sejak ia menarik balik keputusan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kita dengar komitmen untuk mansuhkan hukuman mati dan juga meratifikasi perjanjian antarabangsa mula-mula dahulu, tetapi setelah setahun tidak banyak kemajuan dicapai. Kita mahukan pembaharuan yang kekal.”

Timbalan Pengarah HRW Asia Phil Robertson berkata selepas setahun masih banyak janji pembaharuan hak asasi Putrajaya tak terlaksana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2019.

“Nampaknya kerajaan takut hendak bergerak ke depan sejak ICERD. Bila Malaysia kata akan tanda tangan Statut Rom kami sangat gembira, ibu pejabat kami di New York sangat teruja tetapi di saat-saat akhir mereka tarik diri dan kami bingung. Apa yang berlaku, lepas satu..satu,” tambah Phil.

Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi ICERD selepas tekanan kumpulan hak Melayu, kemudian menarik balik hasrat meratifikasi Statut Rom selepas penentangan institusi diraja.

Shamini menggesa PH untuk berpegang teguh kepada komitmennya, tetapi juga mengakui yang tindakan kerajaan sekarang membuka jalan untuk pembaharuan hak asasi di Malaysia.

“Kami kecewa dengan u-turn dibuat kerajaan. Mereka patut lebih teguh dan mereka perlu mempercepatkan pembaharuan ini tetapi usaha memperkenalkan hak asasi wujud walaupun perlahan,” katanya.

PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu, menewaskan Barisan Nasional yang memerintah selama 60 tahun.

Pengarah Eksekutif AI Shamini Darshini Kaliemuthu berkata jalan pembaharuan hak asasi di Malaysia sudah dibuka, tetapi Pakatan Harapan perlu ada kesungguhan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Mei, 2019.

Dalam manifestonya, PH berjanji akan melaksanakan pembaharuan institusi dan undang-undang seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), pemansuhan hukuman mati dan Akta Hasutan.

Sehingga kini, IPCMC masih jadi topik hangat dengan polis, Akta Hasutan masih berkuatkuasa dan hukuman mati tidak dimansuhkan sepenuhnya. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen