SEMBILAN daripada 10 belia Malaysia berusia antara 21 hingga 30 tahun menyatakan gaji yang ditawarkan di negara ini tidak mencukupi, menurut hasil kaji selidik firma kajian Merdeka Center.
Kajian sampel terhadap 604 belia tiga kaum utama Malaysia itu menunjukkan 98% belia India ada sentimen sedemikian diikuti Melayu (85%) dan Cina (84%) dalam kaji selidik yang dibentangkan malam ini bersama NGO Watan.
Belia India turut menyatakan kesukaran untuk mendapat pekerjaan dengan 74% daripada responden berasa seperti itu, diikuti Melayu (70%). Bagaimanapun kurang setengah (45%) daripada belia Cina yang merasakan demikian.
Bagaimanapun, lebih tujuh per 10 daripada semua golongan muda ini berpuas hati dengan bidang kerja yang diceburi dengan 75% daripada responden yang tinggal di bandar bersetuju berbanding mereka di kawasan luar bandar (68%).
Kaji selidik itu turut menunjukkan anak muda Melayu paling bimbang dengan jaminan pekerjaan mereka dengan hanya 45% menyatakan mereka selamat dalam kerjaya masa kini berbanding golongan India (76%) dan Cina (58%).
Kesemua bangsa menyatakan kebimbangan terhadap situasi kewangan mereka dengan hampir tujuh daripada 10 responden (Melayu 77%, Cina 71% dan India 68%) menyatakan demikian. Ini dicerminkan dengan hanya 40% golongan India, 28% Melayu dan 10% daripada responden Cina menyatakan situasi kewangan mereka bertambah baik berbanding tahun lalu.
Kaji selidik ini melibatkan responden mewakili demografi pengundi berumur antara 21 hingga 30 tahun merangkumi 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan pecahan kaum 68% Melayu, 23% Cina dan 9% India dan dijalankan antara 3 hingga 8 Ogos lalu.
Sebanyak 60% responden bekerja di sektor swasta manakala 15% bekerja sendiri. Sebanyak 11% merupakan pelajar atau tidak bekerja dan 8% berkhidmat di sektor awam atau syarikat berkaitan kerajaan. Baki 6% pula suri rumah sepenuh masa.
Sebanyak 32% daripada responden berpendapatan bulanan kurang RM2,000 dengan majoriti 37% pula berpendapatan antara RM2,001-RM3,999. Sejumlah 14% pula memperoleh antara RM4,000-RM 6,999 manakala 8% mempunyai pendapatan lebih RM7,000 sebulan. Baki 9% tidak berpendapatan. – 19 September, 2017.
Komen