LANGSUNG: Pegawai Maybank beritahu mahkamah arahan pindah RM35 juta


Bede Hong

Ahmad Farhan Sharifuddin, pegawai penyiasat Bank Negara memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mei, 2019.

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak hari ini masuk hari ke-15, dengan pasukan pembelaan meneruskan soal balas terhadap saksi ke-29, bekas penolong naib presiden (jabatan pendapatan tetap) di Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Amirul Imran Ahmat.

Semalam, Amirul memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tidak mencadangkan KWAP memberi pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC International, sambil menambah pinjaman itu melanggar dasar dan garis panduan pelaburan dana perkhidmatan awam kerana jumlah yang terlibat terlalu besar.

Permohonan pinjaman RM3.95 bilion oleh SRC International pada 3 Jun 2011 dikurangkan kepada RM1 bilion oleh KWAP dalam kertas pelaburan yang ditulis oleh Amirul.

Cadangan itu diserahkan kepada ketua Amirul, pengarah Jabatan Pendapatan Tetap sekarang, Ahmad Norhisham. Ahmad menyampaikannya kepada panel pelaburan KWAP, yang menaikkan jumlah itu kepada RM2 bilion.

SRC International kemudian menerima pinjaman RM2 bilion pada 26 Ogos 2011 melalui empat transaksi bernilai RM500 juta.

Amirul berpendapat pinjaman diberikan kepada bekas unit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu merupakan satu kesalahan, kerana ia melanggar dasar dan garis panduan pelaburan dana.
   
Ketika disoal oleh pihak pendakwa semalam, Amirul mengekalkan bahawa beliau ditekan untuk mempercepat permohonan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion pada 28 Mac 2012, meskipun pinjaman pertama melanggar Perenggan 5 dasar dan garis panduan pelaburan KWAP.

Beliau berkata pinjaman kepada SRC International melebihi ekuiti pemegang saham, iaitu SRC International, yang hanya mempunyai ekuiti bernilai RM1 juta, tetapi permintaan untuk pinjaman berjumlah RM4 bilion diluluskan.

Amirul juga menegaskan pelanggaran dalam Perenggan 2, di mana jumlah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak dibenarkan melebihi 10% daripada peruntukan bagi pelaburan pendapatan tetap domestik.

Najib berdepan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa terhadap RM42 juta yang didakwa diterima dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Menurut saksi, wang itu adalah daripada pinjaman RM4 bilion yang disalurkan kepada SRC International daripada KWAP pada 2011 dan 2012.

Najib diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mei, 2019.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan.

The Malaysian Insight membawakan anda prosiding secara langsung:

3.30pm: Pendakwa Sulaiman Kho mengesahkan transaksi dan peguam bela Shafee memulakan pemeriksaan balas.

3.35pm: Perbicaraan disambung semula jam 8.45 pagi esok.

3.33pm: Shafee meminta saksi mengemukakan borang pembukaan akaun Putra Perdana Construction, Putra Perdana Development dan Permai Binary. Halijah berkata, beliau akan membawanya esok.

Shafee: Yang Ariff, saya minta saksi dibebaskan supaya dia dapat pulang dan mengemukakan dokumen.

3.19pm: Halijah mengesahkan satu lagi urus niaga pada 12 Disember 2014 dengan memindahkan RM30 juta dari Putra Perdana Development (014011546000) kepada Putra Perdana Constructions Sdn Bhd (014011327183).

3.14pm: Halijah mengesahkan menerima arahan pada 12 Disember 2014 untuk memindahkan RM110 juta dari Putra Perdana Development (014011546000) kepada Putra Perdana Constructions Sdn Bhd (014011327183). Beliau mengesahkan urus niaga berdasarkan debit advice pada hari sama.

2.59pm: Permai Binaraya Sdn Bhd mengarahkan pemindahan RM30 juta pada 7 Januari 2015 dari akaun bernombor 514012042754 ke SRC International (2112022010650). Transaksi berlaku pada hari sama.

2.53pm: Maybank menerima arahan pada 14 Julai 2014 untuk memindahkan RM5 juta dari Permai Binaraya Sdn Bhd (514012042754) kepada Putra Perdana Development (014011546000).

Halijah mengesahkan transaksi dibuat berdasarkan makluman debit. Transaksi dilakukan pada tarikh sama.

2.44pm: Pada 8 Julai 2014, RM27 juta dipindahkan dari Permai Binaraya Sdb Bhd (514012042754) ke akaun 2112022011880 milik Najib.

Halijah berkata, bank menerima arahan melalui faks pada 8 Julai 2014. Cetakan surat itu diterima pada 10 Julai 2014. 

2.32pm: Dalam surat arahan lain bertarikah 7 Januari 2015, Putra Perdana Construction Sdn Bhd mengarahkan Maybank memindahkan RM3 juta kepada Permai Binaraya Sdn Bhd.

Halijah mengesahkan dari debit advice bahawa transaksi itu dilakukan pada tarikh sama. Transaksi tersebut adalah dari Putra Perdana Construction (014011327183) ke Permai Binaraya (514012042754).

2.21pm: Halijah mengesahkan Putra Perdana Construction memindahkan RM140 juta kepada SRC International pada 12 Disember 2014. Transaksi dibuat dari akaun Maybank Construction Putra Perdana (014011327183) ke akaun Ambank SRC International (2112022010650) melalui cek (No: 089042).

2.11pm: Halijah berkata, Maybank menerima surat arahan daripada Putra Perdana Construction pada 31 Julai 2014 untuk memindahkan RM30 juta kepada Putra Perdana Development.

Transaksi ini dibuat pada 11 Ogos 2014. Pemindahan ini dibuat dari Putra Perdana Construction (014011327183) kepada Putra Perdana Development (014011546000).

2.04pm: Halijah mengesahkan debit advice diterima daripada Putra Perdana Construction Sdn Bhd pada 14 Julai 2014 untuk memindahkan RM105,000,002 kepada Putra Perdana Development.

1.58pm: Mahkamah bersambung selepas rehat dengan Halijah meneruskan keterangannya.

1.00pm: Shafee meminta rehat. Hakim Nazlan berkata belum tiba waktu rehat.

Shafee memberitahu Nazlan, Zohor masuk jam 1.10 petang. Nazlan menjawab masjid hanya di seberang jalan, sebelum mengizinkan rehat 30 minit.

12.53pm: Halijah berkata terdapat pesanan melalui faks untuk memindahkan RM34.99 juta daripada akaun Putra Perdana bernombor 014011327183 kepada akaun Permai Binaraya Sdn Bhd bernombor 514012042754 pada 8 Julai 2014.

12.45pm: Halijah mengesahkan penyata akaun Permai Binary Sdn Bhd untuk tempoh Julai 2014-Disember 2015. Peguam pendakwa, Sulaiman Kho menyoal saksi mengenai deposit dan pemindahan dana.

Beliau mengatakan pelanggan biasanya mengarahkan bank bagi urus niaga tersebut dan ia boleh dibuat dalam bentuk faks atau surat.

12.27pm: Halijah disoal mengenai akaun bank Putra Perdana Sdn Bhd no. 014011327183, dan mengesahkan penyata banknya untuk tempoh Januari 2014 hingga Disember 2015. Beliau membaca penyata bagi tempoh Julai 2014 hingga Januari 2015.

12.22pm: Halijah Abdul Wahab, penolong pengurus Maybank dipanggil memberi keterangan. Beliau adalah saksi ke-31. Tugasnya melibatkan, antara lain, membuka akaun bagi individu dan syarikat.

11.58am: Sithambaram meminta rehat 10 minit. Hakim Nazlan membenarkannya.

11.53am: Harvinderjit terus bertanya Farhan mengenai siasatan transaksi yang mencurigakan.

DPP V. Sithambaram mencelah dan menegur Harvinderjit kerana bertanya soalan yang sama banyak kali.

11.46am: Farhan berkata beliau hanya menyedari mengenai telefon Blackberry dan bukannya Samsung.

Shafee menamatkan soalannya dan Harvinderjit mengambil alih.

11.41am: Shafee mbertanya Farhan mengenai keperluan mendapatkan semula telefon semasa serbuan dijalankan oleh Bank Negara pada 2015.

Farhan berkata beliau tidak pasti kerana ia bukan untuk siasatannya.

Shafee kemudian bertanya jika beliau sedar dua telefon (Blackberry dan Samsung) diambil semasa serbuan.

Farhan berkata tidak pasti.

11.26am: Shafee meminta Farhan melihat beberapa dokumen dan mengesahkan kertas carian.

11.01am: Shafee berkata jika AmBank menjalankan tugasnya memberi amaran kepada Bank Negara mengenai urus niaga mencurigakan, maka pelanggannya (Najib) juga akan dimaklumkan, agar beliau menyedari transaksi itu.

Shafee: Adakah anda sedar sama ada jabatan anda atau mana-mana jabatan lain menjalankan siasatan tambahan untuk menentukan sama ada urus niaga itu mencurigakan?

Farhan: Tidak.

Shafee mengulangi jika AmBank melaporkan transaksi mencurigakan, maka kliennya akan dimaklumkan dan seluruh keadaan mungkin dapat dielakkan.

Farhan menjawab “tiada komen”.

10.55am: Shafee bertanya Farhan mengenai proses siasatan dilancarkan Bank Negara apabila transaksi mencurigakan dikesan.

10.42am: Harvinder selesai menyoal Farhan. Shafee mengambil alih.

10.36am: Harvinderjit berkata AmBank didenda berdasarkan penemuan Farhan.

Harvinderjit: Bolehkah anda memberitahu saya mengapa?

Farhan: Kesalahan itu gagal mengemukakan laporan urus niaga yang betul mengenai akaun Najib.

Harvinderjit: Tahun yang mana?

Farhan: Pada dasarnya sepanjang akaun dibuka dan ditutup. Kami melihat semua transaksi.

Bekas penolong naib presiden (jabatan pendapatan tetap) Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Amirul Imran Ahmat tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mei, 2019.

10.22am: Saksi Amirul dibenarkan turun dan Ahmad Farhan Sharifuddin, pegawai penyiasat Bank Negara serta saksi nombor 4 kembali memberi keterangan.

10.18am: Ishak bertanya kepada Amirul ketika berkhidmat dengan KWAP, terdapat syarikat lain yang mendapat pinjaman seperti SRC International tanpa menyediakan dokumen mencukupi.

Amirul berkata tidak.

10.11am: Ishak Mohd Yusoff menyoal Amirul.

10.09am: Harvinderjit menamatkan soal balasnya, dengan mengatakan tidak mempunyai soalan lanjut untuk Amirul.

9.50am: Mahkamah berehat sebentar.

9.20am: Perbicaraan bermula. Amirul kembali ke kandang saksi dan Harvinderjit Singh meneruskan soal balasnya.– 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen