ISU harga barang melambung naik, sekali lagi jadi hangat. Ini ritual liputan media menjelang Ramadan atau musim perayaan. Hakikatnya, isu kenaikan harga barang berlaku setiap hari, minggu dan bulan. Cuma, jenis barangnya digilir-gilirkan bagi mengabui mata kerajaan.
Selalunya, ia disenyapkan sebab di luar musim perayaan. Kalau dilaporkan pun kurang sensasi.
Pengguna sudah meroyan mengenai gelombang kenaikan harga barangan harian yang kronik sejak November 2017. Ketika itu, kali pertama harga ikan kembung melambung RM22 sekilo. Itu juga punca datangnya idea kerajaan BN buat jualan murah melalui projek Q’Fish LKIM.
Projek bodoh! Harga ikan melambung seluruh negara, tapi projek jualan murah LKIM dibuat sekitar Titiwangsa, Kuala Selangor dan Langkawi.
Apabila media massa menimbulkan isu kenaikan harga barang pada Ramadan tahun ini, rakyat sebenarnya sudah letih mendengarnya. Sebab isu ini berpanjangan sejak era Ahmad Maslan.
Sekarang sudah era Saifudin Nasution. Era yang sepatutnya kebajikan rakyat diutamakan. Tetapi, realitinya harga barangan harian tetap terus menekan.
Indeks harga barang membuktikan, keperitan rakyat berterusan. Dalam setahun ini, mafia pemborong terus saja memperbodohkan rakyat dan mempersendakan kerajaan. Isu kenaikan harga barang dilapor berulang-ulang.
Dalam tempoh 12 bulan ini, kubis bulat yang asasnya sekitar RM3 pernah mencecah RM7 sekilo. Bawang besar India dan Belanda yang asasnya hanya RM4 sekilo pernah mencecah RM6.50 sen.
Selalunya taktik menaikkan harga barang dilakukan secara berkala. Mafia pemborong tahu teknik permainannya.
Mafia pemborong menyerang harga barang secara berkala, dan kerap berpindah-pindah strategi barangannya. Ada kala, barangan basah, ada masa barangan kering. Malah, ayam dan daging juga dalam senarai serangan.
Apabila rakyat menjerit, dan menteri bersuara, harga segera diturunkan. Menteri pun bergembira konon jadi hero. Betapa cakap dan amarannya berjaya menurunkan harga. Tapi mafia tidak lupa. Bulan depan serang lagi. Begitulah permainannya.
Pada era BN, tanggal 14 Februari 2018, setelah sebulan pemborong menyerang barangan pengguna dengan menaikkan harga melampaui batas dan sukar dikawal, rakyat mula jadi marah. Itulah tarikh bersejarah, ikan kembung lebih mahal daripada “ikan bertelur emas”.
Kajian membuktikan tahap sokongan kepada BN merosot teruk mulai 2017 ketika krisis harga barang langsung tidak mampu dikawal. Ketika itu, kenaikan harga barang benar-benar menggila dan pemborong berkuasa di pasaran sebagai mafia.
Kesannya, penganalisis juga beranggapan, serangan pada Januari 2018 sebagai kemuncak ialah “rehearsal” mafia pemborong untuk menjatuhkan BN melalui sentimen harga barang. Ada teori mengatakan, konspirasi harga barang dimainkan dalang untuk menjatuhkan BN.
Tragedi Januari 2018 juga bukti, kuasa mafia pemborong boleh digunakan pada bila-bila masa. Hingga, mafia ini menggunakan isu harga barang untuk menjatuhkan sebuah kerajaan.
Ketika itu, harga barang harian terutama ikan, udang, ketam dan sotong melambung tinggi. Pemborong mengaitkan dengan musim tengkujuh pada Disember 2017.
Januari 2018, harga kembung melambung hingga RM22 sekilo. Tanda aras paling bahaya. Sejak tarikh itu, harga ikan kembung tidak pernah turun lagi ke paras RM7 seperti sebelumnya.
Hingga sekarang harga kembung kekal berlegar antara RM12 hingga RM18 sekilo. Ikan yang dulunya dianggap makanan rakyat marhaen, kini harganya milik golongan separa elit.
Ketika mafia pemborong menyerang untuk menjatuhkan BN itu, harga sayur turut melambung tinggi. Kubis putih Indonesia melambung RM6 berbanding harga biasa RM3.50. Mafia pemborong mendajalkan habis-habisan kerajaan BN. Cili merah kulai dengan selamba dijual RM25 sekilo berbanding RM15 harga biasa.
Inilah kuasa mafia yang mencetuskan krisis harga barang dan turut menyumbang pada kejatuhan BN. Waktu yang sama, Ahmad Maslan muncul menjadi ikon jenaka di kalangan orang awam.
Tanpa membebel, mudah cakap: pemborong adalah “raja paling berdaulat” di negara ini. Selepas BN tewas, mafia ini terus berkuasa tanpa sedikit pun dapat dikawal oleh kerajaan PH juga.
Lebih sedih, apabila media massa melaporkan pada Isnin lalu, mengenai kenaikan harga timun dan ikan kembung, pihak berkuasa menjawab dengan mudah: “Tidak menerima laporan harga barang naik.” Phuiii!
Ketika rakyat dikejutkan harga timun naik RM8 sekilo berbanding RM3.50 sehari sebelumnya, pihak berkuasa belum tahu realitinya.
Hakikatnya, netizen sudah meroyan di media sosial pada Ahad. Mengadu harga ikan kembung naik dari RM12 ke RM18. Tentulah aneh, apabila pihak berkuasa masih menjawab: belum ada laporan!
Lagi sedih, profesor ekonomi terkenal memberi reaksi: “Ini masa pengguna menunjukkan kuasa menentang pembulian pemborong.”
Hairan betul sikap profesor seorang ini. Isunya bukan rakyat. Tuan profesor sepatutnya kena tegur kerajaan dan pihak berkuasa. Suruh menteri dan kementeriannya bekerja.
Seperti pihak berkuasa yang menunggu aduan, cadangan profesor ini mengingatkan kita pada Ahmad Maslan. Sentiasa memberikan jawaban yang mengecewakan.
Kalau zaman Ahmad Maslan, nasihatnya mengenai kuasa pengguna sangat mudah. Sekiranya ayam naik harga, jangan makan ayam. Kalau restoran naik harga, masak saja di rumah.
Itu era nasihat Ahmad Maslan. Parti Ahmad Maslan sudah kalah. Tentunya rakyat berharap kuasa pengguna tidak lagi akan diterjemah sebodoh itu lagi. – 8 Mei, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen