Bekas presiden Peru, isteri didakwa berkaitan skandal Odebrecht


Bekas presiden Peru Ollanta Humala dan isteri Nadine Heredia didakwa menerajui organisasi penjenayah pengubahan aset haram. – Gambar AFP, 8 Mei, 2019.

PENDAKWA raya Peru mendakwa bekas presiden Ollanta Humala dan isteri Nadine Heredia semalam kerana pengubahan aset haram, sebahagian dalam skandal korupsi Odebrecht.

Humala adalah bekas presiden pertama didakwa kerana skandal itu, yang turut melibatkan beberapa bekas pemimpin tertinggi negara itu.

Odebrecht, syarikat pembinaan gergasi Brazil mengaku membayar AS$29 juta (RM122 juta) rasuah di Peru antara 2004 dan 2015.

Peguam Negara Jerman Juarez Atoche berkata Humala dan Heredia dituduh “menerajui organisasi jenayah untuk pengubahan aset”.

Pejabat Pendakwa Raya memohon hukuman penjara kepada Humala dan 26 tahun untuk Heredia “kerana menyembunyikan pembelian hartanah dengan wang Odebrecht”.

Pertuduhan itu berkaitan dengan kempen pilihan raya presiden antara 2006 hingga 2011.

Humala, 56, adalah presiden Peru antara 2011 hingga 2016.

Beliau dan isterinya, 42, dituduh menerima AS$3 juta pembiayaan haram daripada Odebrecht dalam kempen pilihan raya dimenangi Humala.

Pasangan itu ditahan selama sembilan bulan sebelum perbicaraan sehingga April 2018.

Jorge Barata, warga Brazil yang jadi ketua Odebrecht di Peru memberitahu penyiasat yang beliau sendiri menyerahkan wang tersebut kepada Heredia.

Jika hakim berpuas hati dengan pertuduhan itu, tarikh perbicaraan akan ditetapkan.

Dua lagi bekas presiden turut terlibat dalam skandal Odebrecht.

Alejandro Toledo, 73, presiden daripada 2001-06 berdepan permohonan ekstradisi daripada AS, didakwa kerana menerima AS$20 juta daripada Odebrecht.

Pedro Pablo Kuczynski (2016-18) yang kini berusia 80 tahun pula dipindahkan ke tahanan rumah minggu lepas- sehingga tiga tahun- selepas menjalani pembedahan jantung.

Seorang lagi bekas presiden Alan Garcia (1985-90 dan 2006-11) pula meninggal dunia di hospital pada usia 69 tahun selepas menembak dirinya di kepala pada 17 April lepas apabila polis sampai untuk menahannya berkaitan tuduhan pengubahan wang haram ketika berkuasa. – AFP, 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen