Iraq akan jaga kepentingan AS


Setiausaha Negara Mike Pompeo mengadakan lawatan mengejut ke Iraq untuk mendapatkan jaminan kepentingan negaranya terjaga. – Gambar AFP, 8 Mei, 2019.

PEMIMPIN Iraq berjanji melindungi kepentingan AS ketika wujud ketegangan hubungan dengan Iran, kata Setiausaha Negara Mike Pompeo semalam pada lawatan mengejutnya.

Pompeo membatalkan majlis yang patut dihadirinya di Jerman untuk membuat perjalanan empat jam ke Baghdad- yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran- di mana beliau bertemu Presiden Barham Saleh dan Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi.

“Kami berbincang tentang kepentingan Iraq memastikan perlindungan mencukupi kepada Amerika di negara mereka,” kata Pompeo kepada wartawan selepas pertemuan itu.

“Kedua-dua mereka memberikan jaminan yang mereka faham itu tanggungjawab mereka,” katanya.

Pompeo berkata beliau melawat Iraq kerana Iran “meningkatkan aktiviti mereka”, tetapi enggan mendedahkan butiran maklumat risikan itu.

“Kami mahu mereka tahu tentang peningkatan ancaman yang kami lihat dan beri mereka sedikit gambaran supaya mereka boleh pastikan mereka buat yang terbaik memberi perlindungan kepada pasukan kami,” kata Pompeo.

Lawatan itu berlaku dua hari selepas AS memberi amaran kepada Iran yang mereka akan “bertindak tegas” kepada sebarang serangan dan penghantaran kapal USS Abraham Lincoln adalah untuk “menghantar mesej terang” kepada Tehran.

Ketegangan tercetus setahun selepas Presiden Donald Trump menarik balik penyertaaan AS daripada perjanjian nuklear Iran dan melancarkan kempen agresif untuk melawan pemerintahan negara itu.

Pengkritik berkata Trump cuba mewujudkan krisis dengan Iran walaupun PBB mendakwa negara itu masih patuh kepada syarat perjanjian nuklearnya. – AFP, 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen