VENEZUELA akan mendakwa tujuh wakil rakyat yang menyokong cubaan rampasan kuasa minggu lepas yang gagal, dirancang oleh pemimpin pembangkang Juan Guaido, umum Mahkamah Agung semalam, selepas Washington membatalkan sekatan ke atas ketua perisik Caracas yang dipecat kerana menyokong rampasan itu.
Mahkamah dalam penghakiman itu berkata, ia sudah meminta Peguam Negara Tarek William Saab untuk memulakan “siasatan jenayah” ke atas pembangkang kerana “pengkhianatan negara” dan “konspirasi”.
Tidak lama selepas itu, Dewan Perhimpunan membatalkan kekebalan parlimen ketujuh-tujuh wakil rakyat itu.
“Apa selepas ini? Perbicaraan,” kata Speaker Dewan Diosdado Cabello, orang kedua berpengaruh selepas Presiden Nicolas Maduro.
Cabello juga menyebut yang tiga lagi wakil rakyat sudah dikenal pasti dan akan melalui proses sama.
Senarai itu menyenaraikan Henry Ramos Allup, bekas speaker Dewan Negara dikawal pembangkang- tetapi tidak Guaido, presiden sementara Venezuela yang diiktiraf lebih 50 buah negara.
Di Washington, Naib Presiden AS Mike Pence berkata mereka sedang menambah tekanan kepada Maduro dengan membatalkan sekatan kepada ketua perisikan yang dipecatnya, Jeneral Christopher Figuera.
Pence bercakap di Jabatan Negara, berkata beliau berharap tindakan Figuera akan mendorong lebih ramai pemimpin kanan Venezuela untuk membatalkan sokongan kepada Maduro.
Washington “akan mempertimbangkan pembatalan sekatan ke atas semua yang tampil menyokong perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” kata Pence.
Pence juga memberi gambaran yang AS akan mengenakan sekatan ke atas hakim Venezuela sekiranya mereka menggunakan mahkamah sebagai “alat politik untuk rejim yang menindas demokrasi, menyabitkan tahanan politik dan mempromosi pentadbiran autokratik.”
“Jika Mahkamah Agung Venezuela tidak kembali kepada mandat perlembagaan untuk menjunjung kedaulatan undang-undang, AS akan mempertanggungjawabkan semua 25 hakim untuk tindakan mereka,” kata Pence.
Dalam ucapannya juga, Pence mengumumkan yang kapal penyelamat AS, USNS Comfort akan kembali kepada kawasan tersebut pada Jun untuk misi lima bulan membantu negara jiran yang bersimpati dengan nasib jutaan rakyat Venezuela yang kini jadi pelarian.
Wakil rakyat lain dalam senarai pendakwaan ialah Edgar Zambrano, Luis Florido, Marianela Magallanes, Simon Calzadilla, Americo De Grazia dan Richard Blanco.
Dewan Perhimpunan juga berkata ia akan menggantung kekebalan mana-mana wakil rakyat yang menyokong rampasan kuasa 30 April, yang mencetuskan keganasan dua hari antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan menyebabkan lima orang terbunuh.
Puluhan lagi cedera dan 233 ditahan.
Saab, peguam negara dalam kenyataan sebelum ini berkata pihak berkuasa sudah mengeluarkan 18 waran tangkap kepada “perancang orang awam dan tentera” selepas kebangkitan 30 April.
Kumpulan Contact Group on Venezuela yang bermesyuarat di San Jose, Costa Rica semalam mengumumkan ia akan menghantar pasukan pegawai tinggi ke negara bergolak itu untuk memantau bantuan dan pengedaran bantuan kemanusiaan dan mengadakan dialog antara pihak bertelagah. – AFP, 8 Mei, 2019.
Komen