PEMERINTAH tentera Sudan semalam berkata undang-undang Islam akan terus kekal sebagai garis panduan dalam struktur pentadbiran baharu, selepas pemimpin penunjuk perasaan menyerahkan cadangan pembaharuan tetapi tidak menyentuh tentang Syariah.
10 ahli majlis tentera yang menerima cadangan struktur pentadbiran awam baharu daripada pemimpin penunjuk perasaan minggu lepas.
Majlis tentera itu memberitahu wartawan yang mereka umumnya bersetuju dengan cadangan itu tetapi ada “banyak persoalan”. Ini termasuklah tentang kedudukan undang-undang Islam Syariah untuk terus jadi asas semua undang-undang negara.
“Pengisytiharan itu gagal menyebut sumber perundangan, dan undang-undang Syariah Islam dan adat perlu jadi sumber perundangan,” kata Leftenan Jeneral Shamseddine Kabbashi, jurucakap majlis kepada wartawan.
Sudan ketika pentadbiran Omar al-Bashir melaksanakan undang-undang Syariah secara tidak konsisten, walaupun perlembagaan negara meletakkannya sebagai prinsip panduan.
Ini menyebabkan ribuan wanita disebat kerana “tindakan memalukan”, menurut aktivis hak wanita.
Kabbashi juga berkata majlis tentera berpandangan pengisytiharan darurat perlu diberikan kepada pihak berkuasa “berdaulat” dan bukannya Kabinet seperti dicadangkan pemimpin penunjuk perasaan.
Katanya, pecahan ahli dalam badan “berdaulat” itu masih belum dibincangkan dengan pemimpin pembantah.
Majlis tentera dan pemimpin pembantah berbeza pandangan tentang komposisi majlis pemerintah, penunjuk perasaan mahukan diterajui majoriti pemimpin awam tetapi jeneral bertegas tentera menjadi ahli majoriti.
Ribuan penunjuk perasaan terus berkumpul di kompleks tentera, mendesak pemerintahan tentera dihapuskan dan kuasa pentadbiran diserahkan kepada pentadbiran awam.
Jeneral merampas kuasa selepas menyingkirkan Bashir pada 11 April selepas berbulan rakyat mengadakan tunjuk perasaan menentang pemerintahan kuku besinya.
Tetapi majlis tentera berdolak dalih menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat, tuntutan utama penunjuk perasaan. – AFP, 8 Mei, 2019.
Komen