Harapan rakyat kebanyakan miliki rumah pertama masih angan-angan


Diyana Ibrahim Mikha Chan Looi Sue-Chern

Isu perumahan mampu milik terus membelenggu rakyat Malaysia yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan pinjaman bank kerana gaji rendah dan kos sara hidup tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

KERAJAAN sudah berubah tetapi gaji tak naik dan kos sara hidup tinggi masih jadi halangan utama untuk bakal pembeli rumah pertama.

Dasar dan inisiatif dilancar kerajaan baharu untuk menangani isu pasaran hartanah tidak banyak membantu menyelesaikan masalah mereka untuk memenuhi impian memiliki rumah, kata beberapa orang bakal pembeli kepada The Malaysian Insight.

Nazrol Jamaluddin, 38, memutuskan untuk menangguhkan rancangannya membeli rumah untuk keluarga dan kedua ibu bapanya selepas permohonan pinjaman untuk sebuah rumah teres di Meru, Klang berharga lebih RM300,000 ditolak bank tahun lepas.

Nazrol yang menyewa sebuah apartmen selama 15 tahun tidak berjaya mendapatkan pinjaman kerana perbelanjaan dan komitmen kewangan bulanannya dianggap terlalu tinggi.

“Saya tiada pilihan selain menunda rancangan untuk membeli rumah pertama. Saya rasa saya perlu menyimpan lebih banyak sehingga saya boleh bayar wang pendahuluan,” katanya.

Perunding cukai Tan Pei Ming, 24, yang dalam usaha memiliki rumah pertama di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya, berkata menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan rumah adalah cabaran utama kerana gaji tidak berubah dan kos sara hidup terus meningkat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berdepan tugas berat menangani isu perumahan mampu milik yang sejak sekian lama membangkitkan kemarahan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Tan berkata untuk membeli sebuah rumah berharga setengah juta, beliau perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk bayaran pendahuluan.

“Minyak dan makanan lebih mahal sekarang berbanding dua atau tiga tahun lepas. Makanan tepi jalan pun berharga RM7 atau RM8 sepinggan sekarang,” katanya.

Kerajaan dan dasar baharu, tetapi masalah masih lama

Rumah terlalu mahal untuk kebanyakan rakyat, peningkatan kos sara hidup dan syarat ketat pinjaman sudah lama jadi “isu panas” perlu diatasi kerajaan.

Bagi menangani masalah ini, belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan untuk tahun ini mengecualikan pembeli rumah pertama daripada duti setem untuk perjanjian jualan dan pembelian serta perjanjian pinjaman untuk rumah bernilai sehingga RM300,000 selama dua tahun sehingga Disember 2020.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2019, pembeli rumah pertama juga diberikan pengecualian duti setem untuk hartanah bernilai antara RM300,000 dan RM1 juta. Penjimatan daripada pengecualian ini adalah sekitar RM24,000 untuk hartanah bernilai RM1 juta dan RM5,000 untuk hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah.

Bagi menangani isu lambakan hartanah, kerajaan juga melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang menawarkan 20,000 rumah dengan diskaun minimum 10% bermula daripada Mac hingga 30 Jun tahun ini.

Kerajaan Pakatan Harapan melancarkan pelbagai inisiatif untuk perumahan mampu milik tetapi ia tidak banyak mengubah realiti akar umbi yang terus bergelut mendapatkan rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Awal tahun ini juga, kerajaan berikrar membina 100,000 rumah mampu milik menjelang hujung tahun, selaras dengan janji menifesto PH pada PRU14 untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beberapa individu yang ditemui mengakui dasar dan inisiatif dilancarkan kerajaan baharu menjanjikan perubahan terutamanya pengecualian duti setem.

“Saya nampak kerajaan baharu berusaha,” kata Tan.

“Ada rakan saya kata yang beberapa pemaju perumahan tidak mengenakan bayaran pendahuluan untuk projek baharu, jadi pembeli rumah hanya perlu bayar pinjaman dan faedah.”

Adila Abdul, 33, yang bekerja dalam perkhidmatan awam di Pulau Pinang berkata, beliau hanya mampu membeli sebuah apartmen berkeluasan 1,000 kaki persegi di Sentul, Kuala Lumpur selepas mendapati beliau layak memohon skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dibuat pentadbiran terdahulu.

Adila yang akan berpindah kerja ke Kuala Lumpur, berkata beliau berharap kerajaan baharu akan menunaikan janjinya untuk meningkatkan jumlah rumah mampu milik dalam beberapa tahun.

“Saya gembira saya tidak berdepan masalah. Saya cuma sedikit kecewa saya tak mampu landed property.

Landed property masih mahal, kebanyakan orang tak mampu. Tetapi bergantung kepada kawasan…mungkin satu hari nanti, saya mampu,” katanya.

Bagi ramai anak muda, mereka sudah putus harap untuk memiliki rumah berhampiran ibu kota kerana pelbagai kekangan yang diluar keupayaan mereka untuk diatasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Tetapi tidak seperti Adila, yang menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang membeli rumah pertama, ramai orang muda sudah patah harap untuk memilik rumah berhampiran bandar besar.

Tan dari Kuala Lumpur berkata walaupun wujud pengecualian cukai, kebanyakan orang muda di ibu kota bergelut untuk menyimpan duit bagi bayaran pendahuluan rumah kerana gaji mereka tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, sebahagian besar gajinya dihabiskan untuk makanan, minyak, tol, bil dan perbelanjaan lain, menyebabkan beliau hanya dapat membuat simpanan bulanan yang rendah.

“Kerajaan perlu menetapkan gaji minimum lebih tinggi. Banyak syarikat yang bayar gaji rendah kepada pekerja,” katanya.

“Kita masih hidup dengan gaji sama. Tak banyak beza dengan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.” – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen