Mahkamah Mesir jatuhi hukuman mati terhadap 13 militan 


Anggota pasukan keselamatan Mesir menjadi sasaran serangan kumpulan Ajnad Misr pada 2013 hingga 2015.– Gambar EPA, 7 Mei, 2019

MAHKAMAH Mesir pada Selasa menjatuhkan hukuman mati terhadap 13 anggota kumpulan militan yang menyerang anggota pasukan keselamatan, kata pegawai kehakiman.

Tertuduh didakwa menubuhkan kumpulan militan, Ajnad Misr (Tentera Mesir), yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan terhadap pasukan keselamatan di sekitar Kaherah.

Mahkamah Mesir turut menolak rayuan terhadap keputusan yang diluluskan tribunal jenayah Giza pada Disember 2017.

Tertuduh didapati bersalah “membuat dan memiliki bahan letupan, bom dan senjata api, dan menerima latihan di luar negara.”

Mereka turut didakwa atas kesalahan “melakukan keganasan terhadap pasukan polis dan kemudahan awam bermula akhir 2013 hingga Mei 2015”.

Selain 13 hukuman mati, 17 defendan turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sembilan lagi dihukum penjara antara lima hingga 15 tahun, manakala lima lagi dibebaskan.

Ajnad Misr mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas pasukan keselamatan dan pengeboman di luar bangunan utama seperti mahkamah tinggi dan pejabat kabinet. – AFP, 7 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen