CHINA memusnahkan secara besar-besaran masjid dan tempat suci umat Islam etnik Uighur di wilayah Xinjiang di barat negara itu dalam masa dua tahun lepas, lapor The Guardian.
Hasil pemeriksaan visual satelit ke atas 91 masjid dan tapak suci umat Islam di wilayah itu, 31 masjid dan dua keramat dikesan rosak teruk, kata laporan itu.
Laporan itu dibuat dengan kerjasama laman web kewartawanan penyiasatan Bellingcat.
Ia mendapati kerosakan ke atas masjid dan tempat suci umat Islam Uighur itu berlaku antara 2016 dan 2018.
Sekurang-kurangnya 15 masjid dikesan musnah sepenuhnya sementara sebahagian masjid yang lain tidak lagi mempunyai menara atau kubah.
Daripada 31 masjid yang dirosakkan itu, sembilan adalah bangunan yang tidak mempunyai ciri-ciri binaan sebuah masjid. Sesetengah masjid itu binaan lebih 800 tahun seperti Masjid Yutian Aitika dekat Hotan.
Antara yang dirosakkan ialah keramat Imam Asim, pahlawan dari kurun kelapan, yang makamnya yang dianggap tempat suci dalam kalangan umat Islam wilayah itu.
Pendedahan The Guardian ini dibuat tidak lama selepas Amerika Syarikat mendakwa China menindas sehingga 2 juta umat Islam dari pelbagai etnik minoriti di kem tahanan, yang disifatkan oleh Beijing sebagai kem pemulihan.
China menggunakan alasan kebangkitan keganasan dalam pelbagai tindakannya yang dilihat menindas umat Islam di wilayah barat, seperti pelbagai sekatan untuk menjalani ibadat termasuk puasa. – 7 Mei, 2019.
Komen