Aktivis Hindu tiada kuasa komen siasatan Zamri Vinoth, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Pendakwah Muhammad Zamri Vinoth kini disiasat kerana didakwa mengganggu keharmonian dan memulakan penghantaran komunikasi menyinggung.– Gambar Youtube, 7 Mei, 2019

AKTIVIS kumpulan Hindu Arun Dorasamy tidak mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan umum berhubung siasatan polis ke atas pendakwah Islam Muhammad Zamri Vinoth Abdullah, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Huzir Mohamed hari ini.

“Beliau tiada kuasa untuk membuat kenyataan,” kata Huzir kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai dakwaan Arun bahawa kertas siasatan sudah dikembalikan kepada polis oleh timbalan pendakwa raya.

Arun dari persatuan Hindu Agaman Ani Malaysia menghantar kenyataannya kepada pemberita menerusi WhatsApp hari ini, mengatakan polis akan menyiasat dua lagi saksi. 

Beliau mendakwa Jabatan Peguam Negara mahu lebih banyak keterangan direkodkan sebelum membawa Zamri ke mahkamah berhubung dakwaan menghina agama Hindu dalam video yang tersebar di media sosial. 

Huzir bagaimanapun enggan mengesahkan dakwaan Arun. 

Zamri, yang sebelum ini beragama Hindu dan memeluk agama Islam, yang juga oembantu kepada pendakwah terkenal Zakir Naik ditahan seminggu lalu selepas lebih 800 laporan polis dibuat terhadapnya. 

Beliau disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengganggu keharmonian dan memulakan penghantaran komunikasi menyinggung. – 7 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen