Ketua pertahanan AS beri amaran kepada Iran


Pemangku ketua pertahanan AS, Patrick Shanahan berkata AS menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempurnya berhampiran Iran pada Isnin sebagai tindak balas terhadap tanda-tanda ancaman yang menyakinkan oleh rejim Iran. – Gambar EPA, 7 Mei, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) sekali lagi memberi amaran kepada Iran terhadap sebarang tindakan “provokasi” atau ancaman, selepas AS menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempurnya berhampiran Iran pada Isnin, lapor agensi berita Anadolu. 

Pemangku ketua pertahanan AS, Patrick Shanahan berkata penempatan itu sebagai tindak balas terhadap tanda-tanda ancaman yang menyakinkan oleh rejim Iran.

Pada Ahad Penasihat Keselamatan Negara John Bolton berkata kapal pengangkut pesawat penggempur USS Abraham Lincoln bersama pasukan petugas pengebom dikerahkan ke wilayah Pusat Kawalan AS untuk menghantar “mesej jelas” kepada Tehran.

Langkah terbaru Washington sebagai amaran dan memberikan tekanan terhadap Iran. 

Pentadbiran Trump kembali mengenakan sekatan ke atas eksport minyak Iran pada November selepas presiden AS itu menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran.

Setiausaha Negara Mike Pompeo pada Isnin berkata penempatan itu adalah peningkatan tindakan provokasi oleh Iran. Namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai provokasi itu. – Bernama, 7 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen