DUA wartawan Reuters yang dipenjarakan kerana laporan mereka tentang krisis Rohingya di Myanmar dibebaskan hari ini selepas kempen seluruh dunia mendesak pembebasan mereka.
Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dikerumuni media ketika keluar dari penjara Insein di Yangon selepas penahanan mereka yang lama.
Mereka ditahan pada Disember 2017 dan penahanan itu menjadi satu perjuangan antarabangsa dan tanda bahawa Myanmar menindas kebebasan media di bawah pemimpin Aung San Suu Kyi yang juga penerima anugerah Nobel.
Wa Lone, 33, mengucapkan terima kasih kepada “seluruh dunia” kerana mengusahakan pembebasan mereka dan berjanji untuk kembali bekerja.
“Saya tidak sabar hendak kembali ke bilik berita. Saya wartawan dan itu yang akan saya teruska,” katanya.
Ketua Pengarang Reuters Stephen Adler berkata:”Kami sangat gembira Myanmar membebaskan wartawan kami yang berani.”
“Sejak penahanan mereka 511 hari lalu, mereka menjadi simbol betapa pentingnya kebebasan media di seluruh dunia. Kami mengalu-alukan kepulangan mereka.”
Kedua-dua wartawan itu melambai dan tersenyum lebar ketika keluar dari penjara.
Mereka disabitkan bersalah atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Ketiak ditahan, mereka pada September 2017 membuat laporan tentang pembunuhan beramai-ramai 10 Rohingya di Rakhine yang bergolak, di mana kekerasan tentera Myanmar menyebabkan kira-kira 740,000 masyarakat minoriti yang tidak berwarganegara itu melarikan diri ke sempadan Bangladesh.
Kes itu mencetuskan kemarahan di seluruh dunia dan menghentam legasi Suu Kyi yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.
Reuters sebelum ini berkata wartawan mereka dipenjarakan sebagai balasan atas pendedahan itu.
Ketika dipenjarakan, kedua-dua wartawan itu ketinggalan beberapa peristiwa penting dalam keluarga masing-masing, termasuk kelahiran anak perempuan Wa Lone.
Tetapi mereka juga pada masa sama diraikan dengan pelbagai anugerah dan penghormatan terhadap kerja mereka.
Bulan lalu, mereka menerima anugerah berprestij Pulitzer. – AFP, 7 Mei, 2019.
Komen