Kes gangguan seksual libat ketua hakim India ditolak


Ketua Hakim India Ranjan Gogoi didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita sebanyak dua kali di kediaman rasminya. – Gambar AFP, 7 Mei, 2019.

PANEL Mahkamah Agung pada Isnin menolak aduan gangguan seksual dilakukan hakim tertinggi negara itu terhadap bekas kakitangannya, mengatakan ia tidak kukuh.

Seorang penolong mahkamah junior berusia 35 tahun menuduh Ketua Hakim Negara, Ranjan Gogoi, melakukan gangguan seksual terhadapnya sebanyak dua kali di kediaman rasminya.

Wanita itu mendakwa hilang pekerjaan dan keluarganya dimalukan selepas mendedahkan perbuatan Gogoi.

Selepas ketua hakim berusia 64 tahun menafikan tuduhan itu, panel tiga hakim ditubuhkan untuk menyiasat aduan wanita itu.

“Jawatankuasa dalaman tidak menemui sebarang bukti kukuh dalam dakwaan yang terkandung dalam aduan bertarikh 19 April 2019 oleh bekas pekerja Mahkamah Agung India,” kata Setiausaha Agung Mahkamah Agung dalam satu kenyataan.

Ia juga berkata laporan panel itu dikemukakan kepada hakim kanan dan juga kepada ketua hakim.

Kandungan laporan itu tidak akan didedahkan sejajar dengan peraturan siasatan dalaman, tambahnya.

Minggu lepas, wanita itu berkata beliau menarik diri daripada siasatan kerana “tidak mungkin mendapat keadilan daripada jawatankuasa ini”.

Dalam surat, beliau berkata “suasana jawatankuasa sangat menakutkan” dan berasa “sangat gugup” kerana tidak dibenarkan disertai oleh peguamnya.

Gogoi, yang akan bersara pada November selepas setahun memegang jawatan itu, menyifatkan tuduhan itu “sukar dipercayai” dan percubaan untuk memburukkan reputasinya.

Kes itu berlaku selepas pelbagai tuduhan gangguan seksual dibuat secara terbuka terhadap pengarah Bollywood, pelakon dan tokoh media tahun lalu, ketika gerakan #metoo melanda negara.

Seorang menteri muda luar negara terpaksa meletak jawatan selepas beberapa wanita menuduhnya melakukan gangguan seksual.

Mahkamah Agung, salah satu institusi paling dihormati di India, mempunyai 25 hakim yang dilantik oleh presiden, termasuk ketua hakim. – AFP, 7 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen