13 maut nahas jet peribadi di Mexico


Bangkai jet peribadi yang terhempas selepas dilaporkan hilang ketika terbang dari Las Vegas ke Monterrey, di utara Mexico. – Gambar AFP, 7 Mei, 2019.

BANGKAI jet peribadi yang hilang ketika terbang dari Las Vegas ke Monterrey, di utara Mexico, ditemui pada Isnin, tanpa sebarang tanda sama ada terdapat 13 penumpang dan kru yang terselamat, menurut pihak berkuas.

Pengawal trafik udara berkata mereka kehilangan hubungan dengan jet Bombardier Challenger 601 pada Ahad malam, selepas ia tiba-tiba hilang kawalan ketika berada di negeri Coahuila, di utara Mexico.

“Ketika melalui di kawasan itu, (pegawai) melihat bangkai pesawat di kawasan pergunungan, kawasan yang sukar untuk diakses di Ocampo, Coahuila,” kata kementerian keselamatan awam negeri dalam satu kenyataan.

“Tidak ada yang terselamat.”

Imej bangkai disiarkan TV Mexico menunjukkan serpihan pesawat berteraburan, dengan bahagian sayap dan ekor sahaja yang tinggal.

Seorang pegawai penerbangan negeri pada mulanya mengatakan terdapat 11 penumpang di atas kapal terbang, tetapi kementerian mencatatkan angka itu kepada 10 orang, ditambah tiga kru iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan atendan penerbangan.

Menurut laporan media Mexico, pihak berkuasa percaya jet itu membawa sekumpulan penumpang pulang daripada menyaksikan perlawanan tinju di Las Vegas, di mana petinju Mexico, Saul “Canelo” Alvarez mengalahkan Daniel Jacobs dari Amerika Syarikat.

Destinasinya adalah bandar perindustrian kaya Monterrey, di negeri Nuevo Leon, yang bersempadan dengan Coahuila.

Ia adalah penerbangan tiga jam dari Las Vegas, di negeri Nevada AS, ke Monterrey.

Pihak berkuasa berkata cuaca buruk mungkin menjadi punca dalam kemalangan itu.

“Terdapat banyak aktiviti atmosfera dan ketidakstabilan baru-baru ini. Sejak empat hari lalu, kami mengalami ribut hujan, hujan batu dan angin melebihi 60km sejam,” kata Francisco Martinez, timbalan menteri keselamatan awam Coahuila memberitahu rangkaian TV Milenio. – AFP, 7 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen