Semangat calon 'bidan terjun' bantu rakyat


Noel Achariam

Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli yang aktif di belakang tabir PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata beliau tidak terbayangkan perkara selain tugas yang dipikulnya sekarang. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Mei, 2019.

HAMPIR lebih setahun yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli mungkin ketawa besar jika dicadangkan untuk memikul tugas sebagai wakil rakyat.

Tetapi Juwairiya, 34, yang aktif di belakang tabir PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkata beliau tidak terbayangkan perkara selain tugas yang dipikulnya sekarang.

“Keadaan sekarang berbeza sejak saya jadi Adun. Saya boleh bantu lebih ramai orang.

“Inilah semangat yang mendorong saya untuk lakukan perubahan dalam hidup rakyat,” kata beliau dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Juwairiya diminta bertanding di kerusi DUN Bukit Melawati selepas borang pencalonan Sivamalar Ganapathy (PKR) ditolak.

Ini kerana alamat yang tertera pada kad pengenalan Sivamalar menyatakan beliau berasal dari Raub, Pahang. Setiap calon perlu berasal dari Selangor untuk layak bertanding.

Tanggal 28 April, jam 9.40 pagi, Juwairiya menerima panggilan telefon daripada presiden PKR ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memintanya menghantar borang pencalonan.

“Borang pencalonan saya memang sudah siap sebab saya salah seorang daripada tiga calon (senarai pendek) untuk bertanding tetapi tak terpilih.

“Pada masa itu, saya tidak ada wang deposit dan surat watikah.

“Bagaimanapun, dalam tempoh 20 minit sebelum pencalonan ditutup pada jam 10 pagi, semuanya dapat kami selesaikan kerana pegawai pilihan raya faham keadaan kami,” katanya.

Juwairiya berjaya menewaskan calon Barisan Nasional, Jakiran Jacomah dengan majoriti 2,695 undi. 

Walau masih sukar mempercayai kejayaan yang dikecapi pada 9 Mei tahun lalu, Juwairiya berkata beliau kini memikul tugas yang mencabar.

“Ini tugas sepenuh masa yang begitu mencabar. Jarang dapat berehat tetapi kita lakukannya untuk rakyat.

“Sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya harap dapat selesaikan semuanya sebelum penggal saya berakhir dalam tempoh empat tahun.”

Juwairiya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sistem dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan kerjaya pada 2008 sebagai pembantu peribadi kepada Ahli Parlime Kuantan Fuziah Salleh.

Beliau kemudian menjadi pembantu dan penyelidik kepada bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Keutamaan Juwairiya sebagai Adun Bukit Melawati kini adalah membantu golongan B40 yang ramai datang ke pusat khidmatnya di Taman Bendahara untuk memohon bantuan.

“Mereka ini golongan miskin yang memohon bantuan kebajikan. Kebanyakannya adalah ibu tunggal, warga emas dan nelayan tempatan.

“Kita ada berikan bantuan tetapi fokus utama sekarang ini ialah bantu mereka jalankan perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Juwairiya berharap hasratnya untuk menyediakan latihan kemahiran kepada mereka yang berminat dapat segera dilaksanakan. – 7 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen