PRESIDEN Perkasa Ibrahim Ali memberi amaran kepada ahli Parlimen DAP supaya jangan bersikap biadab dengan mengecam pembantahan festival arak di Kuala Lumpur.
Ibrahim berkata pembatalan “Better Beer festival” oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bukan bersifat politik tetapi ia demi menjaga sensitiviti perasaan orang Islam.
“Kita memang akui mahukan sikap keterbukaan, ada kebebasan tetapi harus diingat, negara Malaysia ini agama Persekutuan adalah Islam.
“Ini kepentingan politik DAP (bantah batal penganjuran festival) nak tunjuk dia ‘champion’ dalam memperjuangkan agenda orang bukan Islam khususnya Cina,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.
“Takkanlah festival sebegini nak dipertahankan sampai nak hilang nyawa atas erti kebebasan.
“Walaupun sebut kita terbuka dan bebas tapi bukan semuanya. Kalau atas erti nama kebebasan, bolehkah semua orang bogel? Itu ke maksudnya?,” katanya.
Beberapa ahli Parlimen DAP seperti Zaid Ibrahim membuat kenyataan sinis berhubung pembatalan festival tersebut.
Zaid berkata, “Yang bantah pesta ini kumpulan yang sama. Mereka tak mahu pesta, hiburan, tak mahu nyanyian. Isteri dua tiga boleh, lagi muda lagi baik.”
Terdahulu hari ini, ahli Parlimen Wilayah Persekutuan mempersoalkan berhubung penolakan festival tersebut di mana DBKL tidak memberikan sebarang alasan terhadap pembatalan tersebut.
Mereka mencadangkan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor mengarahkan keputusan yang dibuat oleh DBKL itu ditarik semula.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Tan Kee Kong (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Wangsa Maju).
Mereka memohon Kementerian Pelancongan menyelesaikan isu itu dengan baik kerana ia akan menjejaskan industri pelancongan negara sambil menekankan hak semua kaum yang pernah dijanjikan oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Kemelut ini menjadi tumpuan ramai selepas pengumuman berhubung “Better Beer Festival” yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan kerana sensitiviti politik yang menyelubungi acara itu.
DBKL dalam kenyataannya berkata, ia menolak permohonan penganjur Mybeer (M) Sdn Bhd yang dihantar pada 28 Ogos lalu. Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khalid Zakaria berkata permohonan untuk tempat, tarikh dan masa penganjur tidak diluluskan.
“Better Beer Festival” yang berjaya dianjurkan untuk lima tahun berturut-turut, sepatutnya diadakan di Kompleks Beli Belah Publika di Kuala Lumpur, menampilkan 250 bir buatan khas daripada 43 pembuat bir seluruh dunia. – 19 September, 2017.
Komen