SEBUAH perkampungan di negeri Rakhine, Myamnar kini berdepan masalah kekurangan bekalan makanan selepas hampir seminggu dikepung oleh pihak tentera, yang membunuh enam penduduk dan ramai lagi ditahan.
Ribuan anggota tentera dikerah ke negeri Rakhine yang mana mereka menggunakan senjata berat terhadap kumpulan pemberontak Tentera Arakan.
Kumpulan pemberontak terbabit berjuang untuk menuntut kebih autonomi bagi etnik Buddha Rakhine yang memaksa lebih 30,000 orang meninggalkan kediaman mereka sejak Disember.
Dalam pergolakan terbaharu di kawasan yang dibanjiri etnik yang kompleks di negeri majoriti beragama Buddha.
Di bahagian utara negeri itu turut menyaksikan pertumpahan darah yang dilakukan pihak tentera terhadap 740,000 umat Islam Rohingya pada 2017, yang disifatkan oleh penyiasat PBB sebagai penghapusan etnik.
Selasa lalu, pasukan keselamatan Myanmar menyerbu perkampungan Kyauk Tan di bandar Rathedaung, yang kemudian memisahkan 275 lelaki untuk disoal siasat.
Pasukan tentera turut mengaku membunuh enam tahanan dua hari kemudian dan mencederakan lapan lagi, dan mendakwa lelaki terbabit cuba menyerang mereka.
Perkampungan terbabit dikepung sejak serbuan itu dan beberapa penduduk yang menghubungi AFP melalui telefon pada Isnin berkata bekalan makanan semakin kurang.
Mereka yang tidak memiliki tanah terpaksa “berusaha keras”, kata seroang wanita kepada AFP yang enggan dinamakan dan menambah penduduk juga terpaksa mencatu bekalan makanan mereka.
Seorang lagi lelaki mengesahkan masalah kekurangan makanan itu dan menyifatkan ia sebagai taktik membuli oleh tentera dan menggesa bantuan antarabangsa. – AFP, 6 Mei, 2019
Komen