MEDIA harus memainkan peranan dalam memastikan Badan Kehakiman tidak menerima persepsi negatif, kata Ketua Hakim Negara baharu, Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun berkata media perlu melaporkan berita dengan tepat terutamanya apabila melibatkan kepentingan awam dan kes penting.
“Kami sedang menyediakan ringkasan kepada media. Ini supaya ia lebih mudah difahami berbanding keseluruhan penghakiman.
“Mereka (media) akan dapat melaporkan dengan lebih tepat,” kata ketua hakim negara pada taklimat media pertama beliau di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan Surat Cara Pelantikan kepada Tengku Maimun di Istana Negara.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu merupakan ketua hakim negara wanita pertama
Beliau menggantikan Richard Malanjum yang bersara wajib pada 12 April lalu. Pelantikan Tengku Maimun berkuatkuasa 2 Mei. – 6 Mei, 2019.
Komen