USAHA membersihkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) daripada imej negatif rasuah dan salah guna kuasa yang terpalit padanya selama ini mengambil sedikit masa, kata menterinya Muhyiddin Yassin.
“Untuk tukar imej yang dikaitkan dengan KDN akan makan sedikit masa,” katanya dalam wawancara khas di pejabatnya, baru-baru ini.
Bagaimanapun Muhyiddin yakin langkah perubahan yang perlahan-lahan sedang dilaksanakan, seperti semakan semula secara dalaman prosedur operasi standard (SOP) pasukan polis, akan mengembalikan keyakinan umum kepada kementerian.
Wawancara itu dibuat sempena menjelang genap setahun kerajaan Pakatan Harapan.
Jelas Muhyiddin, usaha yang kini jadi keutamaan ialah mengembalikan nama baik pasukan polis, meneliti undang-undang drakonian, dan menyelesaikan masalah berkaitan kesalahan dadah serta pekerja asing tidak berdaftar.
“Kita berharap persepsi negatif terhadap pasukan polis akan dapat dikurangkan melalui usaha mengembalikan reputasinya,” katanya.
Muhyiddin juga berkata, kerajaan hari ini tidak berhasrat menyambung mana-mana kontrak tidak munasabah yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.
“Saya selalu ingatkan pegawai saya tentang tanggungjawab mereka. Kita di sini berkhidmat untuk rakyat dan berkhidmat dengan terbaik.”

KDN sebelum ini dikaitkan dengan pemberian kontrak tidak munasabah, seperti projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang dikeluarkan pentadbiran sebelum ini. Projek itu dibatalkan oleh kerajaan pada Disember lalu.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan cadangan pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam proses akhir untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.
Ia adalah sebahagian daripada usaha meneliti semula kedudukan undang-undang kontroversi termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014, Akta Pencegahan Keganasan 2015, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Undang-undang tetaplah undang-undang. Ia digubal untuk mencegah sesuatu yang tidak menyumbang kepada keamanan dan keharmonian negara.
“Sudah tentu kita juga akan gubal undang-undang baru, jika perlu dan meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan undang-undang itu tidak drakonian, bersifat primitif dan kejam.
“Itu sebabnya kita meneliti untuk menjadikan undang-undang itu lebih manusiawi.”
Mengenai penyalahgunaan dadah, Muhyiddin berkata kerajaan sedang berusaha meningkatkan mutu program pemulihan penagih bagi mengurangkan jumlah banduan di penjara.
Bagaimanapun, mereka yang terlibat sebagai pengedar dadah akan dihukum setimpal mengikut undang-undang.
Mengenai kemasukan pekerja asing tanpa izin, Muhyiddin berkata, ia sukar ditangani kegiatan sindiket dan majikan tidak bertanggungjawab yang mahu menjimatkan kos.
“Kita sedang cari langkah untuk selesaikan isu ini dengan kerjasama kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat di akar umbi,” katanya.
KDN dan Kementerian Sumber Manusia kini mengetuai jawatankuasa bersama menyemak keperluan pekerja asing dan menyusun satu sistem kawal selia yang lebih baik.
Pada suku pertama tahun ini, lebih kurang 11,000 pekerja asing tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan antara kejayaan kementeriannya dalam tempoh 12 bulan lalu ialah menyelesaikan isu kerakyatan bagi 1,641 warga India berumur lebih 60 tahun yang memegang kad pengenalan merah.
Pada Ogos tahun lalu, Kabinet memutuskan semua 3,407 warga Malaysia kaum India yang memegang kad pengenalan merah akan disahkan kerakyatannya. – 6 Mei, 2019.
Komen