SEMUA kes berprofil tinggi akan dilayan sama seperti perbicaraan di mahkamah lain, kata ketua hakim yang baharu Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau berkata, jangkaan awam yang menjadikan kes itu berbeza daripada yang lain, namun pada sistem kehakiman, semua kes akan mendapat layanan sama.
“Dalam terma mahkamah kami percaya yang ianya tidak sepatutnya dilayan dengan cara berbeza daripada kes lain.
“Ini adalah dari segi prosedur dan dalam mana-mana prosiding. Ia hanya persepsi orang ramai. Dari sudut pandangan mahkamah ia sama,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.
Tengku Maimun mengulas mengenai kes berprofil tinggi seperti kes 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Diraja Wang Kelian.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tengku Maimun, yang merupakan bekas hakim mahkamah persekutuan, di Istana Negara hari ini.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu juga merupakan wanita pertama di negara ini yang memegang jawatan ketua hakim.
Pelantikannya itu berkuatkuasa pada 2 Mei. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.
Tengku Maimun juga berkata, beliau akan cuba menanam disiplin dalam kalangan hakim yang baru dilantik.
“Untuk pelantikan baru kami mempunyai kursus induksi ini.
“Isu utama adalah untuk mendedahkan mereka kepada pelbagai skop pekerjaan dan menanamkan mereka keperluan untuk menjadi cekap dan bekerja keras.
“Dan kami akan memberi penekanan kepada mereka apa sifat hakim yang baik. Sepanjang masa hakim dapat memperoleh kemahiran ini.” – 6 Mei, 2019
Komen