'Sensitiviti politik' bukan alasan haramkan festival arak, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Ramai orang bukan Islam takut ini hanya satu permulaan dan cara hidup mereka akan terbatas hanya kerana kenyataan yang dibuat oleh beberapa ahli politik, kata Lim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

MENGHARAMKAN acara hanya kerana “sensitiviti politik” boleh jadi ikutan yang bahaya pada masa akan datang, kata kerajaan Pulau Pinang hari ini berikutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam mengumumkan pengharaman acara ‘Better Beer Festival 2017’.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata jika sensitiviti politik boleh dijadikan alasan, dibimbangi acara-cara malah perniagaan akan menghadapi masalah yang sama, atas “alasan” yang sama.

Ramai orang bukan Islam katanya takut ini hanya satu permulaan dan cara hidup mereka akan terbatas hanya kerana kenyataan yang dibuat oleh beberapa ahli politik.

“Macamana kalau ini diperluaskan kepada acara-acara lain di masa depan, malah pub, bar dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menjual bir atau minuman keras?

“Kami ada acara ‘phor thor’ yang menghidangkan bir. Adakah acara seperti itu akan diharamkan? Adakah mereka haramkan hidang babi juga?” katanya merujuk kepada festival Hungry Ghost Taoist.

“Menggunakan alasan ini bahaya. Ia membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan membuat keputusan secara sewenang-wenangnya yang tidak tertakluk kepada kedaulatan undang-undang. Ini melanggar prinsip asas kita yang menghormati kedaulatan undang-undang.”

Bercakap sebagai sebuah kerajaan, Lim berkata beliau belum pernah mendengar ‘sensitiviti politik’ sebagai alasan sah untuk menghalang sesuatu acara.

Dalam satu kenyatan semalam, Pengarah Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria berkata permohonan bagi tempat, masa dan tarikh ‘Better Beer Festival 2017’ anjuran Mybeer (M) Sdn Bhd tidak diluluskan.

Festival itu yang telah dianjurkan selama lima tahun berturut-turut, sepatutnya diadakan pada awal bulan depan di Publika Shopping Gallery di Kuala Lumpur. Festival itu membawa 250 jenama arak dari 43 kilang bir di seluruh dunia.

Minggu lepas, ahli politik PAS membantah acara itu dengan mendakwa ia akan menggalakkan aktiviti tidak bermoral dan mengubah Kuala Lumpur kepada pusat maksiat terbesar Asia.

Lim berkata beliau boleh menerima alasan-alasan lain seperti keselamatan, mencegah kekacauan, juga isu-isu teknikal tetapi bukan sensitiviti politik yang sangat subjektif.

“Semasa saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mereka tak pernah kata ia sebab sinsitiviti politik. Saya boleh cabar mereka di mahkamah jika mereka guna alasan itu. Mereka kata saya mengancam keselamatan negara.

“Tidak ada undang-undang menyatakan anda boleh menolak permohonan kerana sensitiviti politik. Anda tak boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan melalui cara ini,” katanya. Lim mendesak DBKL, kerajaan Barisan Nasional dan Kementerian Wilayah Persekutuan menjelaskan hal yang sebenar.

Katanya sukar untuk orang ramai menerima pembatalan acara ini yang diadakan sepanjang tahun sejak 2012 tanpa penjelasan penuh daripada pihak berkuasa.

Setiausaha Agung DAP itu juga berkata penganjur acara berkenaan mempunyai alasan untuk mencabar keputusan DBKL di mahkamah, walaupun syarikat itu mungkin tidak mahu berbuat demikian.

Hadir sama pada persidangan akhbar yang diadakan di pejabat Lim ialah Pengerusi Dewan Bandaraya Pulau Pinang Khor Teng How. Khor berkata negara ini perlu diuruskan mengikut peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat harus diberi kebebasan untuk menganjur dan menghadiri acara, dan mengharamkan festival arak itu bukanlah semangat berbilang kaum dan budaya Malaysia, katanya. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen