Rizab air di Sydney terus menurun


Rizab air di Sydney merosot sejak dua tahun lepas daripada 96% kepada 55% mengakibatkan bekalan air di bandar itu mungkin terpaksa dicatu. – Gambar AFP, 6 Mei, 2019.

KAPASITI rizab air di Sydney merosot sejak dua tahun lepas daripada 96% kepada 55% dan terus menunjukkan penurunan, mengakibatkan bekalan air di bandar itu mungkin terpaksa dicatu, lapor agensi berita Xinhua.

“Rekod kami menunjukkan keadaan semakin teruk meskipun beberapa kawasan menerima jumlah hujan yang baik pada Mac, keseluruhan paras empangan terus menunjukkan penurunan,” kata Menteri Air Melinda Pavey dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Air Sydney, paras empangan menunjukkan penurunan pada kadar purata 0.4% setiap minggu.

Sekiranya air di 11 empangan di Sydney berada di bawah paras 50%, catuan air mungkin dimulakan.

Ketika paras empangan turun di bawah 60% awal tahun ini, loji penyahgaraman Sydney diaktifkan untuk membantu mengekalkan bekalan.

Bagaimanapun, loji terbabit memerlukan sehingga lapan bulan sebagai persiapan sebelum ia boleh berfungsi, yang akan menyumbang kira-kira 15% air minuman di bandar itu.

Walaupun kebanyakan kawasan pedalaman di negara ini dilanda kemarau, namun berdasarkan satu kajian baru-baru ini mendapati rata-rata penduduk Sydney tidak menyedari keadaan itu.

Sebanyak 47% responden tidak percaya bandar itu menghadapi kemarau, manakala kira-kira 15% lagi mengatakan tidak pasti. – Bernama, 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen