Lelaki mengaku tidak bersalah ugut pukul mufti Perlis


Alfian Z.M. Tahir

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat laporan polis di Padang Besar, Perlis pada 2 Mei berhubung ugutan yang dibuat oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Sandev Sandev yang mahu memukul mufti itu sehingga cedera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2019.

SEORANG lelaki berusia 35 tahun yang didakwa mengugut untuk memukul Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, kata polis.

Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd memberitahu The Malaysian Insight, Kumaresan Yehganathan dari Pulau Pinang dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM5,000.

“Suspek sebelum ini yang ditahan reman dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi di mana dia mengaku tidak bersalah.

“Hakim menetapkan wang jaminan RM5,000 dan kes akan didengar pada 17 Mei,” kata Noor Mushar.

Pada 3 Mei lalu, Kumaresan ditahan selepas didakwa mengugut untuk memukul Asri di Facebook.

Dia ditahan di rumahnya di Batu Uban Gelugor, Pulau Pinang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Asri membuat laporan polis di Padang Besar, Perlis pada 2 Mei berhubung ugutan yang dibuat oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Sandev Sandev yang mahu memukul mufti itu sehingga cedera. – 6 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen