Usaha mencari Jho Low akan diteruskan, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha mencari ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho akan diteruskan kerana masih ada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang belum ditemui. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Mei, 2019.

USAHA mencari ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho akan diteruskan kerana masih ada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang belum ditemui, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Daripada 1MDB sahaja, RM42 juta telah disalahgunakan. Siapa yang mengambil wang itu? Di manakah wang itu?.

“Ada beberapa bukti Jho Low telah mengambil banyak duit untuk dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita pada wawancara khas sempena ulang tahun Pakatan Harapan yang pertama.

Bagaimanapun perdana menteri berkata, kerajaan berdepan kesukaran untuk mengesan Jho Low kerana tidak mengetahui di mana lelaki itu berada.

“Pada 4 Mei saya berharap Malaysia sekurang-kurangnya dapat memperoleh semula sejumlah AS$ 7 bilion (RM28.95 bilion) yang diambil daripada 1MDB.

Amerika Syarikat sedang bersedia mengembalikan US$200 juta yang disalahgunakan dari dana berkenaan.

Jho Low akan didakwa di Malaysia berhubung skandal 1MDB. Dia dipercayai bersembunyi di China.

Bulan lepas Duta China ke Malaysia Bai Tian berkata, Beijing bersedia memulakan semula pencarian Jho Low bagi mendapatkan maklumat baharu.

Beliau berkata beberapa usaha mencari atas permintaan Malaysia selepas kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan, menemui jalan buntu. 

“Saya tidak tahu jika Jho Low berada di China. Polis China telah memberikan tumpuan penuh terhadap permintaan itu.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Malaysia, kami telah melakukan pencarian yang sangat teliti untuk mencari (Jho Low) tetapi maaf masih tiada petunjuk baharu ditemui setakat ini,” katanya. – 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen