PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan adanya pergeseran di antara pihaknya dengan istana Johor dan memanggil Tengku Mahkota Johor sebagai ‘budak lelaki’.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada terdapat ketegangan antaranya dengan istana Johor selepas pertukaran baru-baru ini.
“Tidak, saya tidak nampak apa-apa kerana saya pergi berjumpa dengannya dan beliau memandu saya ke lapangan terbang.
“Saya tidak mahu komen tentang sultan kerana jika saya cakap apa-apa, itu tidak baik. Tidak baik sebab dia sultan,” katanya ketika wawancara khas sempena ulang tahun Pakatan Harapan yang pertama.
Beliau memberi maklum balas terhadap kritikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Iskandar terhadap dirinya, kerajaan dan beberapa menteri di media sosial.
“TMJ ini budak kecil. Dia bodoh sebab tidak tahu apakah yang sedang berlaku. Jadi janganlah bercakap kalau tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, mengenai keretakan dalam Bersatu Johor selepas Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal tidak dilantik menjadi pengerusi parti di negeri itu Dr Mahathir berkata, pemimpin tidak datang kepadanya berkenaan perkara itu.
Pengerusi Bersatu itu berkata, tiada aduan yang diberikan ketika kali terakhir beliau bertemu exco negeri.
Semalam dilaporkan satu mesyuarat telah diadakan di antara ketua-ketua bahagian Bersatu.
Mesyuarat didakwa dibuat oleh bekas menteri besar Johor Osman Sapian.
Pemimpin Bersatu yang menghadiri mesyuarat itu mahu Dr Sahruddin dilantik sebagai pengerusi negeri, satu jawatan kosong oleh Osman selepas peletakan jawatannya sebagai MB.
Adun Puteri Wang Mazlan Bujang dilantik sebagai ketua Johor Bersatu yang baharu. – 6 Mei, 2019.
Komen