POLIS di bandar pelabuhan Marseille di selatan Perancis melancarkan pencarian besar-besaran pada Ahad selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diculik.
Kanak-kanak bernama Osnachi itu digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai seorang berketurunan Afrika, memakai kemeja T warna biru muda polka dot, seluar putih krim dan kasut berwarna hitam putih serta mengenakan rantai perak.
Mata mangsa berwarna coklat dan rambutnya hitam keriting.
Polis berkata penculik berkulit putih sekitar usia 35 tahun, setinggi 1.8 meter, sangat kurus dan tidak terurus.
Kanak-kanak itu diculik sekitar 12:40 tengah hari di kawasan Canebiere.
Sistem “amaran penculikan” di Perancis diilhamkan daripada sistem penculikan “Amber Alert” di Amerika Syarikat pada 1996 selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun diculik dan dibunuh di Texas.
Sistem Perancis itu digunakan lebih 20 kali sejak ditubuhkan pada 2006, dengan semua kanak-kanak terbabit ditemui selamat, dengan dua daripadanya ditemui dengan cepat.
Kali terakhir ia digunakan pada Januari apabila seorang bapa menculik bayinya yang sakit kritikal dari sebuah hospital kanak-kanak di bandar Toulouse.
Bayi itu ditemui 24 jam selepas diculik dan dalam keadaan baik.
Bapanya berusia 33 tahun yang tidak bekerja dan abangnya ditahan. – AFP, 6 Mei, 2019.
Komen