SULTAN Brunei semalam berkata moratorium dilaksanakan terhadap hukuman mati termasuk undang-undang syariah yang mengenakan rejam batu hingga mati kepada pesalah gay dan zina, selepas ramai yang berang dengan hukuman itu.
Ini kali pertama Sultan Hassanal Bolkiah mengulas secara terbuka terhadap kanun keseksaan baharu sejak dikuatkuasakan bulan lalu, dan kenyataannya bertujuan mengurangkan ketegangan kritikan terhadapnya.
Undang-undang itu, termasuk memotong tangan dan kaki bagi kesalahan mencuri di negara kecil kesultanan di pulau Borneo itu, mencetuskan kemarahan selebriti termasuk pelakon George Clooney, PBB dan hak asasi manusia.
Dalam satu ucapan disiarkan di stesen televisyen menjelang bulan Ramadan, Sultan Brunei berkata: “Saya sedar ada banyak persoalan dan salah tanggapan berkaitan pelaksanaan kanun keseksaan jenayah syariah.”
“Tidak sepatutnya ada kebimbangan tentang undang-undang syariah kerana ia di bawah rahmat Allah,” katanya.
“Sebagai bukti selama lebih dua dekad, kami mengamalkan moratorium bagi pelaksanaan hukuman mati bagi kes di bawah undang-undang biasa.
“Ini juga diguna pakai bagi kes di bawah undang-undang syariah, yang memperuntukkan ruang pengampunan lebih luas.”
Baginda turut berjanji Brunei akan meratifikasikan konvensyen PBB terhadap seksaan yang ditandatangani beberapa tahun lalu.
Brunei negara majoriti Islam menggunakan dua sistem perundangan dengan mahkamah sivil beroperasi bersama mahkamah syariah yang mengendalikan isu seperti perkahwinan dan harta warisan.
Sesetengah jenayah sudah pun dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut undang-undang sivil tetapi Brunei tidak menjatuhkan hukuman mati selama berdekad lamanya.
Rogol dan rompak juga boleh dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang syariah dan banyak undang-undan baharu, seperti menghina Nabi Muhammad, terpakai kepada bukan Islam dan Islam.
Sultan Brunei, salah seorang yang terkaya di dunia – mengumumkan rancangan melaksanakan kanun jenayah syariah pada 2013. – AFP, 6 Mei, 2019.
Komen