41 dikhuatiri maut pesawat Rusia terbakar selepas mendarat cemas


Jet yang membawa 73 penumpang dan lima anak kapal baru sahaja meninggalkan Sheremetyevo apabila anak kapal memberi isyarat kecemasan. – Gambar EPA, 6 Mei, 2019.

SERAMAI 41 orang termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak dipercayai maut apabila sebuah pesawat penumpang Rusia membuat pendaratan kecemasan dan terbakar di lapangan terbang paling sibuk di Moscow pada Ahad, kata penyiasat.

Rakaman dramatik yang dikongsi di media sosial menunjukkan pesawat Sukhoi Superjet 100 Aeroflot, mendarat di lapangan terbang antarabangsa Sheremetyevo, mengeluarkan api dan asap hitam tebal daripada badan pesawat.

Penumpang dapat dilihat melompat ke atas luncur tiub di bahagian depan dan melarikan diri dari pesawat yang terbakar ketika ia mengeluarkan asap hitam yang banyak.

“Terdapat 78 orang termasuk anggota kru dalam pesawat,” kata Jawatankuasa Penyiasat dalam satu kenyataan, sambil menambah pesawat dalam perjalanan ke bandar Murmansk di barat laut Rusia.

“Mengikut maklumat yang dikemaskini, 37 orang terselamat.”

Lebih 11 lagi cedera, Dmitry Matveyev, kata menteri kesihatan wilayah Moscow pada awal hari ini. Tiga daripadanya dimasukkan ke hospital tetapi tidak berada dalam keadaan serius, katanya.

Penyiasat berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang punca kemalangan itu.

Presiden Russia Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, kata jurucakapnya, Dmitry Peskov.

Perdana Menteri Dmitry Medvedev juga mengarahkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian itu.

Jet yang membawa 73 penumpang dan lima anak kapal baru sahaja meninggalkan Sheremetyevo apabila anak kapal memberi isyarat kecemasan, kata para pegawai.

“Penerbangan Su-1492 bermula pada jam 6:02 petang (15H02 GMT),” kata kenyataan dari lapangan terbang itu.

“Selepas kejadian, kru melaporkan anomali dan memutuskan untuk kembali ke lapangan terbang. Pada pukul 6.30 petang, pesawat itu membuat pendaratan kecemasan,” tambahnya.

Akhbar tabloid Komsomolskaya Pravda memetik seorang penumpang, Petr Egorov berkata: “Kami baru sahaja lepas dan pesawat itu disambar petir .... Pendaratan kasar, saya hampir pengsan akibat ketakutan.”

“Pesawat itu menghantar isyarat kecemasan selepas berlepas,” kata seorang sumber kepada agensi berita Interfax.

“Ia cuba melakukan pendaratan kecemasan tetapi tidak berjaya buat pertama kalinya, dan pada kali kedua gear pendaratan mencecah (tanah), selepas itu muncungnya, dan ia terbakar,” tambah sumber itu.

Interfax, yang memetik sumber tanpa nama berkata pesawat itu mendarat dengan tangki penuh kerana selepas terputus hubungan dengan pengawal trafik udara, ia terlalu berbahaya untuk membuang minyaknya di ruang udara Moscow.

Beberapa penerbangan dialihkan ke lapangan terbang Moscow atau Nizhny Novgorod, kira-kira 500 kilometer (310 batu) di timur ibu kota Rusia. – AFP, 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen