Dokumen belanja duit zakat jutaan ringgit dilarikan, dakwa Iksim


Salhan K. Ahmad

Pada Ogos tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mengumumkan akaun dan aktiviti yang dirancang oleh Iksim dibekukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2019.

INSTITUT Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berdegil agar audit tidak dijalankan ke atas perbelanjaan wang zakat berjumlah RM10 juta yang disyaki diseleweng daripada institusi tersebut.

Institut yang dirundung kontroversi itu didapati bertindak demikian berdasarkan jawapannya kepada penyedia dana tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sedangkan, MAIWP telahpun menegaskan bahawa majlis agama itu berhak menjalankan pemeriksaan ke atas kewangan berkenaan apabila ia disalurkan bermula Januari.

Bantahan berkenaan dinyatakan Iksim dalam surat bertarikh 9 Julai tahun lalu kepada MAIWP, tidak lama sebelum kerajaan mengumumkan pembekuan akaun institut berkenaan.

Dalam surat yang dilihat The Malaysian Insight itu, Iksim antara lain berkeras bahawa pasukan audit MAIWP tidak berhak mengaudit perbelanjaan dana yang diperolehi daripada majlis agama itu.

Ia memberi alasan, Iksim ditubuhkan sebagai sebuah syarikat manakala MAIWP pula mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505).

“Sejak dari awal penubuhan Iksim lagi, Pasukan Audit Dalam (PAD) Maiwp gagal memahami prinsip separate legal entity antara Iksim yang ditubuhkan sebagai Syarikat Berhad Menurut jaminan (SBMJ) di bawah Akta Syarikat 1975 dan MAIWP yang ditubuhkan menurut Akta 505.

“Iksim bukan anak syarikat MAIWP yang memberi hak kepada PAD MAIWP untuk melakukan pengauditan secara (menyeluruh) kerana IKSIM telah diaudit secara profesional, telus dan adil oleh juruaudit bertauliah untuk tahun kewangan 2015 dan 2016,” surat itu dipetik.

Audit berkenaan bagaimanapun tetap dijalankan dan Iksim dalam suratnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh menjelaskan ia terpaksa merelakannya kerana bimbang tidak menerima dana.

“Oleh kerana IKSIM telah diugut tentang penyaluran dana RM2 juta yang tertunggak pada bulan Mei sebagaimana yang telah diluluskan JKB, IKSIM terpaksa akur dengan kehendak PAD MAIWP yang berkeras untuk melakukan pemeriksaan audt secara (menyeluruh),” kata Iksim dalam surat itu.

Institut berkenaan juga menegaskan, perbelanjaaan ke atas dana yang diperolehi daripada kutipan zakat fi-sabilillah itu memadai diperjelas kepada jawatankuasa baitulmal MAIWP sahaja.

Selanjutnya, Iksim mendakwa dokumen pengurusan dan kewangannya dilarikan oleh dua orang bekas pegawai tingginya – bekas pengurus serta bekas pegawai kewangan dan pengurusan.

Menurut surat tersebut, Iksim membuat laporan polis atas kes tersebut dan menjelaskan perkara itu apabila menerima surat PAD MAIWP bertarikh 8 Mei dan 17 Mei 2018.

Bantahan ke atas audit berkenaan dinyatakan oleh Iksim bagi menjawab surat Unit Audit Dalam MAIWP bertarikh 27 Jun yang memaklumkan audit berkenaan sudahpun selesai dijalankan.

Menurut surat itu, audit berkenaan meliputi agihan bantuan MAIWP kepada agensi dan juga NGO untuk tempoh 2015 hingga 2018.

MAIWP pada 5 Januari 2018 meluluskan dana sebanyak RM10 juta untuk dibayar kepada Iksim dalam tiga peringkat menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Paimuzi Yahya.

Ia disebut dalam surat Paimuzi bertarikh 8 Januari 2018 kepada ketua pegawai eksekutif institut itu, Muhamad Naser Disa yang dilihat The Malaysian Insight.

Paimuzi juga menegaskan, Iksim perlu mengemuka laporan perbelanjaan kepada baitulmal MAIWP dan membenarkan pemeriksaan dibuat ke atas peruntukan yang diterima.

Dalam suratnya kepada Naser, beliau menyatakan Iksim akan menerima RM3 juta pada Januari tahun itu bagi peringkat pertama.

Bayaran peringkat seterusnya adalah RM4 juta pada Mei dan selebihnya sebanyak RM3 juta dijadualkan diterima oleh Iksim pada September.

Pada Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mujahid Yusof Rawa mengumumkan akaun dan aktiviti yang dirancang oleh Iksim dibekukan.

Menurutnya, ia bagi membolehkan Iksim dipulihkan daripada penyelewengan dana korporat apabila mendapati RM7.4 juta daripada RM7.6 juta yang diterima daripada MAIWP itu tidak dapat dikesan.

Hanya 2.2% daripada dana tersebut dapat dikesan melalui butiran transaksi, kata Mujahid seperti dilaporkan media waktu itu.

Iksim turut tampil dengan kenyataan media waktu itu dengan dakwaan bahawa audit yang dijalankan itu hanya “separuh masak” kerana tiada semakan lanjut.

Ia antara lain turut mendakwa MAIWP bukan badan bertaulah untuk menjalankan audit.

Dalam kenyataannya disiarkan lidah parti PAS, Harakahdaily, Iksim menyatakan organisasi itu bertanggungjawab memantau dan menguruskan isu-isu ancaman terhadap kedaulatan Islam.

Iksim diperbadankan secara rasmi pada 9 Disember 2014 dan dilaporkan sebagai hasil cetusan idea bekas perdana menteri Najib Razak.

Kalangan pemimpin Pakatan Harapan menuntut agar institut berkenaan ditutup kerana didakwa menjadi alat untuk menyerang gabungan parti itu sewaktu masih menjadi pembangkang.

Cadangan tersebut dilaporkan dibawa kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi bawah Majlis Penasihat Kerajaan tetapi tidak dilaksanakan.

Kerajaan juga mengumumkan untuk menyelesaikan isu bayaran gaji kakitangan Iksim yang dilaporkan tertunggak sejak Jun ekoran pembekuan dana tersebut. – 6 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen