PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu hari ini berkata beliau sudah mengarahkan tentera melancarkan serangan berterusan ke atas militan di Tebing Gaza sebagai respon kepada tembakan dari kawasan itu, dalam pertempuran yang masuk hari kedua.
“Saya mengarahkan (tentera) pagi ini untuk meneruskan serangan besar-besaran ke atas unsur keganasan di Tebing Gaza dan mengarahkan ia melengkapkan tentera di sekitar Tebing Gaza dengan kereta kebal, senjata pemusnah dan pasukan tempur,” katanya pada permulaan mesyuarat Kabinet.
Israel berkata sekitar 450 roket dan peluru berpandu ditembak dari kawasan Palestin ditadbir Hamas sejak Sabtu, dan ia bertindak balas dengan serangan udara dan kereta kebal.
Pihak berkuasa Gaza melaporkan enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel itu, termasuk dua anggota bersenjata.
Israel pula melaporkan kematian seorang ibu dan bayi dalam kandungannya kerana serangan Hamas.
Seorang lelaki warga Israel berusia 58 tahun juga terbunuh kerana serangan roket berhampiran bandar Ashkelon berhampiran sempadan Gaza, kata polis dan hospital Israel.
Netanyahu sedang terlibat dalam rundingan tegang untuk membentuk kerajaan baharu selepas menang pilihan raya 9 April lalu.
Gencatan senjata diuruskan PBB dan Mesir antara Israel dan Hamas membolehkan pilihan raya itu dijalankan dalam keadaan tenang.
Tetapi, minggu lepas pertempuran antara kedua-dua pihak mula berlaku.
Israel dan Hamas di Gaza sudah berperang sebanyak tiga kali sejak 2008. – AFP, 5 Mei, 2019.
Komen