Sri Lanka usir hampir 200 penceramah Islam


Pengeboman Hari Easter membunuh 257 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain, dirancang oleh seorang ulama tempatan yang diketahui pergi ke India dan berhubungan dengan pengganas di sana. – Gambar AFP, 5 Mei, 2019.

SRI Lanka sudah mengusir lebih 600 warga asing, termasuk hampir 200 orang penceramah Islam, selepas pengeboman Hari Easter yang dipertanggungjawabkan kepada kumpulan pengganas tempatan, kata seorang menteri kepada AFP hari ini.

Menteri Dalam Negeri Vajira Abeywardena berkata penceramah itu masuk ke negara itu secara sah, tetapi dalam operasi keselamatan dilakukan selepas serangan didapati tinggal melebihi tempoh visa, mereka didenda dan diusir dari negara itu.

“Mempertimbangkan situasi semasa dalam negara, kami menyemak semula sistem visa dan membuat keputusan mengetatkan halangan visa kepada guru agama,” kata Abeywardena.

“Daripada jumlah yang diusir, hampir 200 orang adalah penceramah Islam.”

Pengeboman Hari Easter membunuh 257 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain, dirancang oleh seorang ulama tempatan yang diketahui pergi ke India dan berhubungan dengan pengganas di sana.

Kementerian tidak memberikan senarai warga yang diusir, tetapi polis berkata mereka yang tinggal melebihi tempoh visa kebanyakannya dari Bangladesh, India, Maldives dan Pakistan.

“Ada institusi agama yang mendapatkan khidmat penceramah asing berdekad lamanya,” kata Abeywardena.

“Kami tidak ada masalah dengan mereka, tetapi ada yang berkembang pesat baru-baru ini. Kami akan beri lebih banyak perhatian kepada mereka.”

Kementerian berkata kerajaan akan merombak sistem dan dasar visa negara itu kerana bimbang penceramah asing melakukan proses radikalisasi kepada warga tempatan yang boleh menyebabkan tragedi 21 April yang menyasarkan tiga gereja Kristian dan tiga hotel mewah berulang.

Sri Lanka mengisytiharkan darurat sejak serangan yang memberikan kuasa kepada tentera dan polis untuk menangkap dan menahan suspek untuk tempoh lebih lama.

Serbuan ke rumah juga dilakukan di seluruh negara untuk mencari bahan letupan dan bahan propaganda pelampau Islam. – AFP, 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen