TENTERA Israel pada hari Ahad menafikan dakwaan pihak berkuasa Gaza bahawa serangannya menyebabkan seorang ibu hamil warga Palestin terbunuh, sebaliknya mengatakan Hamas yang bertanggungjawab terhadap kematian itu.
“Ia adalah propaganda organisasi pengganas itu pada tahap tertinggi,” kata jurucakap tentera Israel Ronen Manelis di akaun Twitter.
“Ibu dan anak perempuannya yang mereka dakwa terbunuh di Gaza dalam serangan (Israel) sebenarnya menjadi mangsa senjata Hamas,” katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.
Seorang lagi jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, memberitahu wartawan bahawa berdasarkan risikan “kami pasti sekarang” bahawa kematian itu bukan disebabkan serangan Israel.
“Kematian mereka yang tidak disengajakan bukan hasil daripada senjata (Israel) tetapi roket Hamas yang dilancarkan meletup di tempat yang bukan sasarannya,” katanya lagi.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada hari Sabtu bahawa Falestine Abu Arar, 37, dan anak perempuannya yang berusia 14 bulan dibunuh oleh serangan Israel yang menerobos ke rumah mereka.
Ketegangan yang semakin meningkat bermula pada hari Sabtu menyaksikan kumpulan militan Palestin menembak sekurang-kurangnya 430 roket dari Gaza, kata tentera Israel.
Israel kemudian bertindak balas dengan serangan udara dan kereta kebal dan mengatakan ia menyasarkan pengkalan-pangkalan ketenteraan.
Empat warga Palestin yang lain dilaporkan terbunuh, termasuk sekurang-kurangnya dua orang pejuang militan.
Bagaimanapun, seorang warga Israel terbunuh dalam serangan roket di bandar Ashkelon berhampiran sempadan Gaza. – AFP, 5 Mei, 2019.
Komen