MALAYSIA perlu antara 20 hingga 30 tahun untuk melangsaikan hutang RM44 bilion yang dikumpul oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan hutang RM1.087 trilion yang ditanggung akibat salah pengurusan negara di bawah rejim Barisan Nasional sebelum ini, kata Lim.
Ini adalah wang yang dari segi teorinya digunakan untuk menampung kos Bantuan Sara Hidup (BSH) selama sembilan tahun yang memberi manfaat kepada 4.1 juta isi rumah Malaysia, dengan lebihan RM1 bilion bagi program lain.
Atau kerajaan boleh menyelesaikan RM39 juta hutang tertunggak peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), membersihkan graduan daripada hutang belajar di universiti.
Baki RM44 bilion adalah baki daripada keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM51 bilion, kata Lim.
Sehingga hari ini, kerajaan sudah membayar RM7 bilion.
Daripada RM51 bilion itu, bayaran faedahnya sahaja berjumlah lebih kurang RM20 bilion sementara hutang pokok sebanyak RM31 bilion.
Itu sebabnya Lim “jelak dengan 1MDB” selepas hampir setahun menguruskan pembayaran hutang yang dilonggokkan oleh pentadbiran Najib Razak.
Skandal yang disiasat di enam negara adalah antara punca Pakatan Harapan menang pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu. Kerajaan berjanji mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan memulihkan kesannya ke atas kedudukan kewangan negara.
“Saya jelak dan penat dengan 1MDB,” kata Lim, mengulas setahun tempohnya sebagai menteri kewangan dan usaha kerajaan mencari jalan menyelesaikan hutang.

Pentadbiran sebelum ini cuba menyembunyikan daripada umum bagaimana dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB yang dijamin oleh kerajaan, kata Lim.
Selain hutang 1MDB, jaminan pinjaman yang perlu dibayar pentadbiran sekarang melonjakkan hutang negara mencecah RM1.087 trilion atau 80.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Lim berkata PH dapat menyelesaikan RM17 bilion daripada hutang itu menjadikan jumlahnya sekarang RM1.07 trilion.
“Kita sudah turunkannya kepada 74.8% daripada KDNK. Penurunan 5.5% itu adalah kerana KDNK kita mengembang dan membantu mengurangkan kadar hutang kepada KDNK.”
Dalam masa tiga tahun, kerajaan berharap menurunkannya lagi kepada 65% daripada KDNK atau di bawah RM1 trilion.
Menurut Lim, semua usaha mencari sumber baharu untuk membayar hutang itu menjejaskan beliau daripada mencapai sasaran penting tahun pertama iaitu mencipta peluang pekerjaan untuk graduan menganggur.
“Kita berharap dapat melakukannya dalam belanjawan akan datang. Ini sesuatu yang tidak dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Mereka lihat pada projek besar bukannya memastikan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Saya jelak dan penat dengan 1MDB. Saya mahu memikirkan tentang satu Malaysia. Bukan 1MDB. (Untuk memastikan) satu Malaysia ada kerja, ada kuasa beli lebih besar.” – 5 Mei, 2019.
Komen