Tahan sakit sikit, pelan pemulihan sedang berjalan, kata Guan Eng


Sheridan Mahavera

Saya harap rakyat boleh bersabar kerana skandal 1MDB menyebabkan kerugian besar. Sama juga dengan Felda dan Tabung Haji, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam wawancara dengan media baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Mei, 2019.

PELAN tiga tahun Putrajaya memulihkan kedudukan kewangan negara sedang berjalan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berharap rakyat bersabar dengan semua usaha menjimatkan perbelanjaan yang dilakukan sepanjang tempoh mencabar ini.

Katanya kerajaan perlu berjimat kerana ia mesti membayar balik hutang yang berlonggok daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta menyelamatkan agensi rakyat seperti Felda dan Lembaga Tabung Haji.

“Saya harap rakyat boleh bersabar kerana skandal 1MDB menyebabkan kerugian besar. Sama juga dengan Felda dan Tabung Haji.

“Kita perlu tahan sakit tetapi kita harap boleh sembuh dalam masa yang singkat.

“Kalau kita boleh tambah peruntukan kepada rakyat, kita akan tambah. Apabila ada wang lebih sikit, kita akan kongsi dengan rakyat.

“Kita di landasan yang betul untuk membetulkan keadaan (kewangan) menjelang 2022. Kita harap menjelang 2022, kewangan kita kembali sihat,” kata Lim dalam wawancara bersama sekumpulan media, baru-baru ini.

Wawancara itu dibuat menjelang setahun Pakatan Harapan jadi kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.

Tabung Haji antara agensi negara yang berdepan beban hutang dan kerugian kerana salah tadbir pentadbiran terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Menurut Lim, penjimatan daripada semakan semula kontrak kerajaan dan usaha menampung ketirisan akan disalurkan segera kepada rakyat.

Setakat April lalu, Kementerian Kewangan memperuntukkan tambahan RM3.5 juta bagi bantuan pelbagai program di bawah beberapa kementerian. Dana itu adalah penjimatan daripada rundingan semula kontrak dan tambahan kutipan cukai, katanya.

Beliau memberikan misalan bagaimana kementeriannya menjimatkan RM805 juta pada separuh kedua 2018 dan dana itu digunakan untuk bantuan musim tengkujuh bagi nelayan dan bantuan sara hidup bagi golongan bujang pada awal tahun ini.

Putrajaya juga mengutip tambahan RM1.4 bilion dari cukai jualan dan perkhidmatan (SST) antara September tahun lalu hingga Januari lepas.

Kerajaan PH dapat berjimat dan menambah pendapatan sehingga RM3.5 bilion kerana ia bersih dan tidak rasuah, seperti rejim Barisan Nasional (BN) yang digantinya, kata Lim.

Tambahan dana itu adalah di luar daripada peruntukan Belanjawan 2019 bagi program bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bantuan musim tengkujuh untuk nelayan.

“Mana sumber itu datang? Saya cakap, kerana kerajaan ini bersih tak makan rasuah, kita akan dapat jimat.

“Tapi bila kita buat anggaran belanjawan macam mana kita nak ukur kita jimat berapa? Jadi tak dapat buat anggaran (sebelum belanjawan).

“Tapi bila kita ada sedikit lebihan kita akan kongsi sama rakyat dan akaun semasa kita tidak ada defisit. Itu sebab boleh tambah lagi bantuan untuk bujang dan nelayan.

“Tahun lepas kita ingat kutip 4 bilion, tambah 1.4 bilion jadi 5.4 bilion. Kita perolehi dan tambah hasil apabila orang lebih yakin dengan kerajaan, mereka lebih rela bayar cukai,” katanya.

Selepas menang PRU14, kerajaan menetapkan langkah untuk membersihkan semua jabatan dan agensi kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.

Kerajaan Pakatan Harapan dapat berjimat dan menambah pendapatan sehingga RM3.5 bilion kerana ia bersih dan tidak rasuah, seperti rejim Barisan Nasional (BN) yang digantinya, kata Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 Mei, 2019.

Antaranya ialah menyemak semula kedudukan hutang kerajaan yang bertambah semasa pentadbiran Najib Razak.

Pada hari-hari awalnya sebagai menteri kewangan, Lim mendedahkan jumlah hutang kerajaan termasuk pinjaman dan jaminan hutang mencecah lebih RM1 trilion.

Lim juga pada masa itu berkata beliau berharap dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan menyemak semula kontrak projek mega seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dan sambungan laluan LRT.

Beliau mahu menggunakan RM15.02 bilion yang dijimatkan daripada projek LRT3 untuk membayar hutang tersebut, namun ia kemudian digunakan untuk menyelamatkan Felda dan TH.

Kerajaan membelanjakan RM6.26 bilion untuk Felda sementara RM17.8 bilion untuk TH.

“Saya dikritik kenapa guna wang itu untuk selamatkan institusi berkenaan. Kenapa tidak dikongsi dengan rakyat?

“Saya perlu jelaskan. Felda penting, ada 120,000 keluarga peneroka sementara Tabung Haji ada simpanan RM75 bilion.

“Kerajaan perlu sokong supaya (pasaran) ada keyakinan,” kata Lim. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen