Anwar gesa Pakatan lunas janji PRU14


Noel Achariam

Saya percaya jika kepimpinan bersih, telus dan saksama dan tidak angkuh seperti pentadbiran lama, rakyat akan terus menyokong Pakatan sebagai kerajaan untuk beberapa tahun akan datang, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Mei, 2019.

PAKATAN Harapan perlu memenuhi manifestonya untuk terus mendapat sokongan rakyat beberapa tahun lagi, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata mereka tidak boleh tunduk kepada tekanan dan kejutan yang akan menghalang kerajaan daripada memberi fokus kepada melunaskan janji manifesto.

“Kita perlu tangani semua isu secara berhadapan dan tidak lupakan komitmen kepada rakyat.

“Saya percaya jika kepimpinan bersih, telus dan saksama dan tidak angkuh seperti pentadbiran lama, rakyat akan terus menyokong Pakatan sebagai kerajaan untuk beberapa tahun akan datang,” katanya dalam ucapan di Persidangan DAP Kebangsaan di Shah Alam hari ini.

Rating populariti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad jatuh kepada 46% daripada 71% yang dicatatkan Ogos tahun lepas, kata Merdeka Centre dalam kajian terbarunya.

Kajian terbaru juga menunjukkan hanya 39% rakyat Malaysia memberikan rating positif kepada PH beberapa minggu sebelum setahun pakatan baharu mentadbir itu rampas kuasa.

Anwar berkata, PH baru sahaja menjadi kerajaan setahun ditadbir Dr Mahathir.

“Pakatan perlu terus kukuh dan kuat dan kita perlu terus memberikan sokongan kepada Dr Mahathir untuk melaksanakan agenda dan janji kepada rakyat.

“Kita akan terus melaksanakan janji manifesto.”

Anwar juga berkata kumpulan elit dan berkuasa tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada penduduk bandar.

“Kerajaan perlu juga beri tumpuan kepada petani, nelayan dan mereka yang bekerja di ladang.” – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen