Pakatan akan terus bantu golongan miskin, kata Guan Eng


Noel Achariam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata gabungan parti-parti kerajaan itu akan terus menunjukkan komitmen untuk membantu golongan yang lebih miskin tanpa mengira kaum atau agama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Mei, 2019.

PAKATAN Harapan akan meneruskan dasar-dasar berasaskan keperluan rakyat seperti yang termaktub dalam manifestonya dan memastikan tiada kaum yang dibiarkan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata gabungan parti-parti kerajaan itu akan terus menunjukkan komitmen untuk membantu golongan yang lebih miskin tanpa mengira kaum atau agama.

“Kami perlu tunjuk komitmen bahawa jika anda miskin, ia tidak penting jika anda orang Cina, Melayu, India atau Kadazan.

“Kami tidak menafikan bahawa majoriti orang Melayu memerlukan bantuan. Tetapi, itu tidak bermakna tidak ada kaum India dan Cina miskin yang memerlukan bantuan.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada apa yang kita sebut dalam manifesto bagi menyediakan dasar berasaskan keperluan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP 2019 di Shah Alam hari ini.

Lim berkata Pakatan perlu mengotakan janji-janji asas berkaitan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada rakyat.

“Mereka perlukan peluang dalam pendidikan, pekerjaan dan perniagaan.

“Kami juga perlu melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan supaya mereka dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Lim berkata kerajaan PH perlu mentadbir lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

“Walaupun majoriti besar kumpulan B40 adalah orang Melayu, ada juga orang India dan Cina.

“Sudah tentu orang Melayu akan dibantu tetapi pembangkang tidak akan setuju. Mereka akan kata yang orang bukan Melayu miskin tak layak dibantu kerana warna kulit mereka dan kita berbeza (daripada pandangan mereka.

“Kami buat ini berdasarkan fakta dan statistik bukan berdasarkan sentimen dimainkan parti pembangkang.”

Katanya, tidak guna jadi kerajaan jika mereka tidak membantu golongan miskin.

“Tidak ada seorang pun wajar dibiarkan dan tak kisah lah jika mereka kaum apa. Jika mereka miskin kita akan tolong.”

Lim menambah yang kerajaan juga mahukan sektor swasta memacu ekonomi ke hadapan dan melabur prasarana asas seperti dalam ekonomi digital.

“Ini adalah bidang yang kita perlu gerakkan untuk majukan Malaysia.” – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen