BUKAN baharu mengenal kegagalan, Baru Bian tetap memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Selangau di Sarawak hanya empat hari sebelum hari pencalonan pada 28 April ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Mengapa tidak katanya, walaupun Selangau tidak pernah dianggap kerusi yang boleh dimenangi ketua PKR Sarawak itu.
“Ia (Selangau) dikategorikan dalam kawasan tahap tiga - bermakna ia mempunyai peluang yang kecil,” kata peguam dan ahli politik Lun Bawang itu.
Dan walaupun jika beliau kalah, ia tidak akan menjadi satu hal yang baharu, selepas empat kali gagal dalam pilihan raya sebelumnya. Dua kali bertanding di kerusi persekutuan, di Lawas pada tahun 1991 dan Limbang pada tahun 2013, dan dua kali bagi kerusi DUN Ba’Kelalan pada tahun 2004 dalam pilhan raya kecil, dan pada pilihan raya umum pada 2006.
Baru akhirnya menjadi wakil rakyat Ba’kelalan pada pilihan raya negeri 2011 dan mengekalkan kerusi itu pada 2016.
Beliau diilhamkan untuk bertanding di kerusi persekutuan sekali lagi setelah mendapati angin perubahan melanda Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan beberapa kerajaan negeri.
“Saya hampir tidak ada persediaan di lapangan sebelum bertanding (di Selangau),” kata Baru di pejabatnya di Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur baru-baru ini, sempena ulang tahun pertama Pakatan Harapan dalam kerajaan.
Beliau mencatat sejarah sebagai salah seorang yang berasal daripada suku Lun Bawang yang pertama, salah satu suku terkecil di Sarawak, menjadi menteri persekutuan.
“Saya beritahu isteri saya yang hanya mahu jadi sebahagian daripada pilihan raya ini (2018). Dan saya harap akan ada perubahan dan mahu jadi sebahagian daripada sejarah,” kata Baru. – 6 Mei, 2019.
Komen